Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images

GALERI FOTO

Kumpulan pelajar yakin akan mengumpulkan ribuan peserta dalam himpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, dengan larangan polis adakah sasaran itu dapat dicapai?

Perhimpunan hari ini bertujuan mendesak tindakan diambil terhadap “Malaysian Official 1”, sosok misteri yang didakwa mendapat AS$731 juta wang “curi” yang berpunca daripada 1MDB?

Bermula pada jam 2 petang, beberapa titik pertemuan ditetapkan, iaitu pusat beli belah Sogo yang dipimpin mahasiswa dan aktivis serta Masjid Negara (dipimpin ahli politik).

Mereka kemudian dijangka berarak ke Dataran Merdeka.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak memberikan kebenaran untuk kawasan bersejarah itu digunakan.

Pihak polis pula memberi amaran bertindak jika ia dilangsungkan.

Dalam perhimpunan “Tangkap Najib” tahun lepas, pihak berkuasa membuat tangkapan awal sebelum acara bermula.

Dalam himpunan hari ini, hanya aktivis pelajar dibenarkan memberi ucapan di Dataran Merdeka.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi pengkritik utama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dijangka hadir dalam acara hari ini.

Laporan langsung Malaysiakini dari Dataran Merdeka bermula jam 1 petang tadi:

Polis: Langgar undang-undang

4.45pm Dataran Merdeka: Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata, himpunan hari ini tidak mengikuti undang-undang.

Zainol berkata, walaupun penganjur menghantar notis namun ia tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

"Himpunan tak ikut lunas undang-undang. Walaupun hantar notis tapi tak ikut syarat," katanya kepada pemberita.

Malah, pihak polis juga menganggarkan seramai 2,000 orang yang menghadiri perhimpunan pada hari ini.

Selain itu, ketika ditanya apakah tindakan yang akan dilakukan oleh pihak polis selepas ini terhadap kumpulan yang menganjurkan perhimpunan hari ini, Zainol berkata biar perkara itu menjadi siasatan pihak polis.

Malah katanya, setakat ini tiada sebarang tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis.

"Biarlah polis siasat," katanya ringkas.

Patung Najib

4.35pm: #TangkapMO1 berakhir selepas Anis Syafiqah meletakkan patung mirip Najib ke penjara olok-olok.

Terdapat juga patung mirip hartawan Jho Low, anak tiri Najib Riza Aziz dan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Low dan Riza dinamakan secara langsung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman AS.

MO1 dalam dirujuk sebagai mempunyai hubungan keluarga dengan Riza dan seorang ahli politik yang berkuasa di negara ini.

Kumpul sekitar Dataran

3.55pm Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Raja: Kenderaan dari Jalan Tun Razak terpaksa memasuki Jalan Tar selepas gagal melalui jalan yang dipenuhi peserta himpunan.

Begitu juga pergerakan trafik daripada Jalan Tun Perak. Bagaimanapun, peserta memberikan laluan kepada bas di jalan itu.

3.30pm Dataran Merdeka: Orang ramai tiba di Dataran Merdeka dan berkumpul di sekitarnya.

Anis Syafiqah dan kumpulan pelajar berucap kepada orang ramai daripada pentas mudah alih yang di atas sebuah lori.

Mereka minta orang ramai duduk di atas jalan sambil diperhatikan penguatkuasa DBKL dan anggota polis.

Mahathir di Langkawi

3.20pm Dataran Merdeka: Dr Mahathir Mohamad tidak dapat hadir ke himpunan # TangkapMO1 di ibu negara walaupun dijangka berbuat demikian sebelum ini.

“Beliau tidak dapat datang kerana terpaksa ke Langkawi pada saat-saat akhir,” kata sumber yang rapat dengan Mahathir kepada Malaysiakini.

Pekakkan telinga

3.15pm Dataran Merdeka: Sementara menunggu kehadiran peserta dari Masjid Negara dan pusat beli-belah peserta himpunan yang berada di Dataran Merdeka cuba menghangatkan suasana dengan melaungkan 'Tangkap Najib'.

Malah, salah seorang peserta himpunan dari Johor Bharu Rosli Kemin, 50 tahun mempersoalkan kenapa kerajaan masih berdiam diri ketika Jabatan Kehakiman AS mendedahkan salah laku kepimpinan Najib.

"Isu ini telah didedahkan oleh DOJ sebuah badan yang boleh dipercayai jadi kenapa kerajaan Malaysia masih pekakkan telinga," tegas Rosli.

Rosli yang tiba sekitar jam 8.00 pagi di Masjid Negara hari ini tiba bersama 40 peserta lain dengan menaiki bas.

Menurut Rosli kehadiran beliau hari ini sebagai tanda sokongan serta ketidakpuasan hatinya sebagai rakyat

"Kita datang sokong himpunan ini dan meramaikan supaya himpunan ini berjaya. Kehadiran saya juga untuk lahirkan perasan tak puas hati kerana pemimpin kita banyak rasuah.

"Kita juga malu satu dunia dah tahu pemimpin kita tak bermoral, malukan rakyat dan negara," kata Rosli.

Kata-kata Rosli itu disambut dengan laungan "Tangkap Najib, jangan tangkap rakyat" sebanyak tiga kali.

Kumpulan Masjid Negara hampiri Dataran

3.12pm Persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen: Kumpulan daripada Masjid Negara kini telah berada berhampiran Dataran Merdeka.

Mereka melalui Jalan Raja, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Tun Perak bagi bertemu dengan kumpulan dari Sogo.

Ketika ini pihak polis turut menjaga lalu lintas bagi memastikan kelancaran jalan raya.

Antara pimpinan politik yang turut mengikuti perarakan dari Masjid Negara ialah Tian Chua dan Nik Nazmi.

Ketika ini, seramai lebih seribu orang telah mula berkumpul di kawasan ini.

Sementara itu, sedikit kekecohan sesama mereka sendiri berlaku apabila kumpulan mahasiswa dan Angkatan Muda Keadilan tidak puas hati sesama mereka.

Perkara menjadi lebih kecoh apabila keadaan di antara Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut sesak dengan orang ramai serta kenderaan yang membawa beberapa pimpinan pelajar.

Bagaimanapun keadaan kini kembali terkawal selepas pihak polis mula membantu menyuraikan keadaan dan melancarkan lalu lintas.

Berarak ke Dataran

2.55pm Jalan Tuanku Abdul Rahman: Kumpulan dari Sogo membanjiri sebahagian jalan.

Diiringi paluan deram dan alat muzik serta nyanyian dan slogan, mereka dipimpin oleh Skuad Keadilan Pemuda PKR (AMK) yang membentuk benteng manusia di depan.

Sebelum itu kelihatan seorang anggota polis memberi amaran kepada Anis Syafiyah. Peserta bagaimanapun tetap berarak.

2.50pm Sogo: Anis Syafiqah umumkan bahawa mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka. Orang ramai bergerak sambil melaungkan slogan “Hidup Rakyat”.

2.50pm Dataran Merdeka: Kira-kira 30 orang kelihatan berkumpul di luar Restoran Rohani dekat Dataran Merdeka dengan pelbagai jenis poster mengecam MO1.

Tak endah arahan bersurai dari polis

2.45pm Masjid Negara: Kira-kira 300 orang yang telah berkumpul di Masjid Negara sejak jam 1.45 petang tadi telah mula berarak ke Dataran Merdeka.

Sebelum mereka berarak, wakil kepada Ketua Polis Dang Wangi ASP Mohd Zain memberi amaran supaya pihak yang berkumpul bersurai.

Mohd Zain berkata, protes jalanan merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Saya wakil polis Dang Wangi ingin memberi amaran, mana-mana penganjuran perhimpunan atau protes jalanan menyalahi kesalahan.

“Justeru saya mohon kepada semua bersurai," kata Mohd Zain.

Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak diendahkan.

Mereka kini berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Raja.

Ketika berarak mereka melaungkan "Hidup Rakyat" dan "Tangkap MO1".

Ada antara mereka menaiki lori untuk mengetuai perarakan dari Masjid Negara.

2.40pm-SOGO: Di samping hitam-putih yang menjadi warna rasmi himpunan, kelihatan juga bendera pelangi yang melambangkann perjuangan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dikibar.

Seorang wanita Ng Xiang Yi yang memegang bendera itu memberitahu Malaysiakini beliau menyokong himpunan hari ini tetapi berharap isu gender juga dapat diberi perhatian.

“Kita harap lebih ramai orang bersuara (dalam isu gender),” kata Ng Xiang Yi.

2.30pm Dataran Merdeka: Lebih 500 anggota polis difahamkan diarah berkawal di sekitar Dataran Merdeka bagi menjaga keamanan sepanjang himpunan #TangkapMO1 berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Malah sehingga jam ini kira-kira 50 orang peserta himpunan mula berkumpul di persimpangan Jalan Parlimen dan Jalan Raja.

Di ruang udara pula dua buah helikopter berlegar-legar memantau persekitaran bandar Kuala Lumpur.

Menurut salah seorang anggota polis yang ditemui beliau bersama pasukannya telah tiba di Dataran Merdeka seawal jam 9.00 pagi.

Anis Syafiqah di Sogo

2pm: Jurucakap himpunan Anis Syafiqah Md Yusof tiba di Sogo dengan trak pikap.

Seorang anggota kumpulan itu bercakap kepada orang ramai sambil berterima kasih kepada polis yang bertugas.

“Untuk pengetahuan semua, perhimpunan aman hari ini akan dibantu kawal selia oleh DAPSY dan AMANAH,” katanya kepada kira-kira 400 peserta di situ.

Mula berkumpul di Masjid Negara

2.00pm Dataran Merdeka: Kelihatan dua buah trak polis yang membawa muatan penuh anggotanya tiba di depan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

1.55pm Masjid Negara: Orang ramai mula berkumpul di perkarangan Masjid Negara bagi mendengar ucapan pimpinan pelajar serta wakil parti politik.

Ketika ini, kira-kira 50 orang berkumpul di sekitar Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih yang bertulis “Mahasiswa dan rakyat Tangkap MO1” dan baju berwarna hitam.

Antara pimpinan politik yang kelihatan ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad dan beberapa ADUN DAP.

Selain itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut berada di perkarangan masjid.

Lelaki dengan Bendera Johor

1.50pm SOGO: Seorang lelaki yang membawa poster bendera Johor yang turut memuatkan tulisan Bangsa Johor dan #TangkapMO1 mencuri perhatian ramai, termasuk media.

Memperkenalkan dirinya sebagai Kapten Anwar, lelaki 38 tahun dari Kluang itu tampil dengan jersi pasukan JDT yang dimiliki Tunku Mahkota Johor.

Beliau berkata hadir ke acara hari ini kerana tidak puas hati dengan kepimpinan Najib.

“Perkara yang tidak telus, tidak amanah mesti ditamatkan segera,” katanya.

Persediaan ditangkap polis

1.30pm SOGO: NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menempatkan 20 orang petugas bagi membantu peserta yang mungkin ditangkap polis.

Seramai 10 orang ditempatkan di Sogo manakala selebihnya di Masjid Negara.

“Bagi nama, alamat, nombor kad pengenalan dan balai polis mana kamu ditahan.

“Kami akan pergi sana dan bantu,” kata penyelaras kumpulan itu Dobby Chew kepada Malaysiakini.

Sementara itu, kelihatan juga individu yang hadir dalam sidang media kumpulan Baju Merah Datuk yang diketuai Datuk Jamal Yunos di kalangan orang ramai yang berkumpul.

Baju Merah yang berbeza pandangan sudah membatalkan hasrat untuk turut berkumpul pada hari ini.

Dataran ditutup

1pm: Dataran Merdeka ini ditutup untuk orang ramai. Pergerakan jalan raya masih lancar.

Tiada peserta berada sekitar kawasan itu buat masa ini. Bagaimanapun, pegawai-pegawai polis, DBKL dan pihak media sudah bersiap sedia.

Di Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Masjid India, tidak jauh daripada kawasan tumpuan pelancong itu, urusan perniagaan berlangsung seperti biasa.

Di Sogo, sekumpulan kecil peserta telah berkumpul. Ada antara mereka memegang sepanduk mengkritik M01 dan membawa anak patung orang utan.

#TangkapMO1 Rally

Lihat Komen
ADS