Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti: Jangan pertikai fatwa, boleh disemak semula

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman hari ini melahirkan rasa kesal terhadap kecenderungan umat Islam untuk mempertikai fatwa dari para mufti.

Katanya, pihak-pihak yang ekstrim mempertikaikan sebagai tidak betul apa juga fatwa yang mereka tidak bersetuju dengannya, kerana merasakan diri mereka pandai.

"Apabila kita membuat keputusan, mereka mempertikaikan fatwa dari mufti dan mengambil fatwa-fatwa lain," katanya.

Kalau rasa tidak puas hati dengan fatwa tertentu, katanya, ia boleh disemak semula.

Mufti Pahang itu berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh Gabungan NGO Islam Malaysia.

Majlis Fatwa Kedah baru-baru ini mengisytiharkan aplikasi popular Pokemon Go sebagai haram, manakala mufti Wilayah Persekutuan berkata permainan itu harus dielakkan jika ia menyebabkan kemudaratan.

Ini mendorong sesetengah rakyat Malaysia untuk mempertikai dan mempersendakan keputusan mereka.

Sementara itu, personaliti yang menghadiri sidang akhbar itu menyatakan tentangan mereka terhadap ideologi ekstrim termasuk kumpulan pengganas IS.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menegaskan bagaimana negara-negara di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan dan Algeria telah mengharamkan buku-buku yang mereka rujuk sebagai 'salafiyah'.

Antaranya ialah buku oleh ulama Ibnu Taimiyyah.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, suspek IS yang telah disoal siasat oleh polis didapati mematuhi pandangan Ibnu Taimiyyah.

Ditanya kemudian sama ada buku-buku oleh ulama itu patut diharamkan di negara ini, Wan Zahidi berkata, pihak berkuasa agama perlu belajar dari Mesir dan Jordan dalam perkara itu.

"Mesir dan Jordan sebenarnya sangat terbuka tetapi mengapa mereka mengharamkan buku-buku ini?

"Maknanya (buku-buku ini) adalah ancaman sebenar kepada keamanan, penyelewengan akidah dan keselamatan," katanya.

Abdul Rahman pula berpendapat bahawa buku-buku itu mesti diharamkan tetapi menegaskan bagaimana buku-buku itu masih belum sampai kepada pihak berkuasa agama.

"Saya rasa patut buku-buku itu diberi kepada kita dan kita akan bawa buku-buku itu kepada jawatankuasa fatwa," katanya.

Mufti itu juga mengambil kesempatan untuk meminta Kementerian Pelajaran mengeluarkan ajaran tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wal Sifat, yang sedang diajar di sekolah.

Ini kerana tiga kepercayaan itu disumberkan dari Ibnu Taimiyyah, katanya.

"Kami minta supaya buku-buku Ibnu Taimiyyah yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dikaji dan buat keputusan untuk diharamkan.

"Bukan semuanya (buku) beliau tidak betul, ada yang betul yang boleh digunakan sebagai rujukan di universiti sebagai pendedahan tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai rujukan oleh masyarakat awam," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS