Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi pemimpin Umno nasihat waspada BERSATU
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 6:40 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Umno tidak harus memandang ringan terhadap penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebaliknya perlu mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Ketua Umno Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata dalam menghadapi perang PRU, parti ditunjangi orang Melayu itu perlu sedar bahawa parti baharu itu diwujudkan dengan matlamat mahu melihat kekalahan Umno dan BN.

"Kita juga tidak boleh terlalu yakin terhadap kemenangan kerana perkara ini akan menyebabkan kita kalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Shahrir, yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, berdasarkan pengamatan beliau dan ucapan yang didengarnya, parti baharu itu bukan membawa perjuangan rakyat atau falsafah alternatif.

"Kita (Umno dan BN) mahu kuasa dan kita yakin kita boleh majukan rakyat tetapi matlamat BERSATU bukan itu. BERSATU kata kalau tidak menang pun tidak mengapa, maknanya, parti itu tidak ada perancangan.

"Jadi, bagaimana BERSATU hendak majukan rakyat dan negara dan ini jelas matlamat parti itu hanya hendak lihat Umno kalah sahaja," katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung trend memberi penekanan terhadap 'bangsa negeri' boleh meruntuhkan perpaduan sebagai rakyat Malaysia, Shahrir berkata semua pihak perlu mengakui bahawa Johor mempunyai pendekatan berlainan dan cara tersendiri dalam pelbagai aspek berbanding negeri lain.

Namun pada masa sama, katanya, semua pihak juga perlu menerima dengan baik pendekatan yang diamalkan setiap negeri di negara ini.

"Kita kena akui ada kelainan dan pendekatan Johor dan ini menyebabkan orang luar Johor marah sikit. Ini membuatkan ada pemimpin peringkat kebangsaan yang tidak faham dan mereka anggap Johor macam mengada-ngada sedangkan kita (Johor) ambil pendekatan sendiri," katanya.

Shahrir berkata bekas perdana menteri itu mungkin mempunyai beberapa sebab untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Soal dia (Dr Mahathir) punya marah kepada 'Bangsa Johor' mungkin ada sebab. Satu sebab, mungkin dia anjur konsep 'Bangsa Malaysia', tetapi, konsep di bawah Wawasan 2020 itu kurang kedengaran sekarang dan tiada sambutan kuat," katanya.

Rabu lepas, Dr Mahathir berkata semua negeri perlu memperjuangkan semangat sebagai rakyat Malaysia, bukan sebagai rakyat negeri berbeza kerana hanya melalui perpaduan sahajalah, Malaysia akan makmur.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan daripada hadirin pada Siri Wacana Perdana Ke-20 bertajuk 'Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia' di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS