Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tidak, Wahabi bukan ajaran sesat, kata Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 1:13 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Fahaman Wahabi bukan dalam kategori ajaran sesat kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Persoalan yang diajukan kepada saya adalah sama ada fahaman Wahabi adalah dalam kategori yang sama seperti seperti Syiah dan ajaran sesat lain.

"Dan jawapan saya adalah tidak, fahaman Wahabi bukan dalam kategori yang sama seperti Al Arqam dan ajaran sesat yang lain kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi Sunni," jelasnya dalam satu temu bual dengan The Star.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu walaupun fahaman Wahabi tidak haram, ia tidak serasi dengan budaya dan tradisi di Malaysia.

"Maulud Nabi, mengadakan tahlil, membaca doa di kubur, semua ini adalah amalan amat berakar umbi dalam budaya dan tradisi Islam. Kamu tidak harus menentang sesuatu yang berakar umbi dalam tradisi kita apabila ia tidak mengganggu akidah," katanya.

Pengikut Wahabi atau salafi percaya ibadat mereka adalah tulen dan merupakan ajaran sebenar dalam Islam.

Mereka menentang amalan seperti mengadakan majlis tahlil untuk orang yang meninggal dunia, membaca talqin di kubur atau membaca Yassin pada hari Jumaat dengan menganggapnya sebagai bidaah atau amalan yang ditokok tambah.

Bagaimanapun Dr Asyraf tidak bersetuju dengan pandangan mengatakan fahaman itu boleh mendorong seseorang muslim menjadi radikal atau menyertai kumpulan militan seperti Negara Islam (IS).

"IS (yang merupakan salah satu kumpulan ini) mahu membina sebuah negara Islam dengan cara yang melampau dengan mengelirukan dan memanipulas jihad dalam perjuangan mereka. Wahabi hanya satu sebahagian daripada keseluruhan idealogi pelampau radikal. Ia boleh menjadi sesiapa, bukan hanya fahaman Wahabi.

"Jadi, saya lebih suka mengatakan 'pelampau' dalam gerakan politik Islam daripada menyebut secara khusus atau Salafisme," katanya.

Baru-baru ini, Penolong Pengarah Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman Datuk AYob Khan Mydin Pitchay berkata ramai penyokong IS yang ditangkap mempunyai buku mengenai Ibn Taimiyyah, seorang ulama pada abad ke 13 yang penting kepada pemikiran Wahabi.

Ayob berkata anggota kumpulan itu banyak merujuk pandangan ulama kontroversi itu dan melabelkan pengikut Sunnah Wal Jamaah sebagai 'sesat, syirik, murtad dan ahli neraka'.

Menjawab ini, Dr Asyraf berkata adalah tidak adil untuk merujuk ulama tertentu seperti Ibn Taimiyyah hanya kerana pemahaman teks beliau diambil di luar konteks.

Beliau mengambil contoh bukan sahaja Ibn Taimiyyah tetapi teks al-Quran juga dibaca di luar konteks berdasarkan pendekatan literalis oleh golongan pelampau.

Menurutnya, adalah bahaya sekiranya seseorang mengambil teks dan pandangan ulama dengan literal tanpa pengetahuan yang betul mengenai konteks politik dan sejarah serta hujah di sebalik tulisan-tulisan mereka.

Lihat Komen
ADS