Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin selar 'budak hingusan' AMANAH persoal Dr M
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 5:52 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin kerana mempersoalkan keikhlasan bekas perdana menteri itu untuk ‘berbaik-baik’ dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil melabel Munir sebagai “budak hingusan”, Khairuddin menyelar pemimpin belia AMANAH itu kerana gagal memahami kepentingan pertemuan kedua-dua mereka semalam.

“Budak hingusan ini tak faham bahasa! Apabila Allah SWT mengizinkan pertemuan di antara Dr Mahathir dan Anwar, kita patut bersyukur kerana (ini) permulaan pertemuan di antara kedua-dua tokoh pemimpin ini berjalan secara baik serta harmonis!

“Dalam ertikata lain, ini adalah permulaan yang amat ideal yang bakal memberi munafaat kepada keseluruhan bangsa Melayu, Islam dan keseluruhan rakyat di tanah air kita.

“Pertemuan bersejarah ini juga adalah detik permulaan yang amat bermakna ke arah memantapkan lagi perpaduan sesama parti-parti pembangkang di bawah Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khairuddin berkata AMANAH selaku sebuah parti di bawah Pakatan Harapan, harus menyokong pertemuan itu dan bukannya meletakkan pelbagai syarat lain.

Munir dalam kenyataan medianya menuntut Dr Mahathir turut menghadiri perbicaraan kes liwat II melibatkan bekas timbalannya itu dan membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat.

Semalam, Dr Mahathir membuat penampilan mengejutkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada permohonan Anwar untuk mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Ia adalah pertemuan sulung kedua-dua mereka selepas 8 tahun apabila Dr Mahathir selaku perdana menteri ketika itu memecat timbalannya, Anwar dan memenjarakannya atas dakwaan kesalahan meliwat dan menyalah-gunakan kuasa.

Anwar dibebaskan pada 2004 selepas tuduhan liwat itu dibatalkan tetapi beliau kembali ke penjara sekali lagi pada tahun 2015 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan sama.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata Munir perlu bersikap lebih matang dalam politik.

“Pandang ke hadapan secara lebih positif demi untuk menguatkan lagi barisan kita bagi membuat persediaan menghadapi PRU14 akan datang.

“Kalau Shazni Munir bankrap idea dalam politik; duduk diam-diam dan ikut saja tindakan tokoh-tokoh pemimpin tertinggi menerajui barisan pembangkang secara pragmatik bagi menjaminkan kemenangan Pakatan Harapan menawan Putrajaya selepas pilihanraya umum yang akan datang,” katanya.

Lihat Komen
ADS