Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan benarkan pemaju beri pinjaman beli rumah
Diterbitkan:  Sep 8, 2016 3:26 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman wang, untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan menangani masalah bayaran pendahuluan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata cadangan itu dipertimbangkan pihaknya memandangkan ramai pembeli mengalami kesukaran untuk membuat bayaran pendahuluan.

"Justeru itu saya mencadangkan supaya pemaju perumahan berkelayakan terutama syarikat mempunyai sumber kewangan yang banyak, seperti Sunway Group, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac, diberi lesen pemberi pinjam wang.

"Ia akan hanya terhad kepada penyediaan pembiayaan akhir untuk pembeli rumah berkelayakan, yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman dari bank," katanya semasa menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2016 di Petaling Jaya, hari ini.

Noh berkata cadangan itu merupakan situasi sama menang untuk pemaju dan pembeli rumah.

"Bagi pemaju, kemudahan pembiayaan akhir akan menawarkan sumber keuntungan
kedua selepas jualan rumah," katanya.

Beliau berkata usaha baharu lain yang diluluskan kerajaan baru-baru ini adalah Sewa Milik atau R2O, untuk semua pembeli rumah di bawah skim Projek Perumahan Rakyat.

"Melalui usaha memperkenalkan R2O baharu ini, saya berharap kita akan mampu menyelesaikan masalah tertunggak yang lama dihadapi pembeli rumah apabila permohonan mereka tidak diluluskan bank, berikutan pendapatan mereka mungkin tidak memenuhi syarat bank yang ketat," katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Noh berkata pemaju yang berminat boleh menyerahkan permohonan lesen pemberi pinjam wang, di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (Pindaan 2011) atau dikenali sebagai Akta 400, di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

Beliau berkata dengan lesen pemberi pinjam wang, pemaju boleh membantu pembeli bagi pembiayaan 100 peratus atau sebahagian, manakala kadar faedah tidak boleh melebihi 18 peratus setahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS