Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

"Kalau saya boleh bekerjasama dengan (Lim) Kit Siang, kenapa saya tak boleh kerjasama dengan Anwar?" kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu menjawab pertanyaan wartawan yang menemuinya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir ditanya sama ada beliau ada bincang untuk mengadakan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan PKR ketika bersemuka dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak berbincang isu itu dengan Anwar.

"Saya tidak berbincang, tetapi kalau saya boleh bekerjasama dengan Kit Siang, kenapa saya tak boleh kerjasama dengan Anwar?" katanya.

Kedua-dua mereka bukanlah presiden bagi mana-mana parti namun Dr Mahathir bertindak sebagai Pengerusi BERSATU manakala Anwar sejak sekian lama dianggap pemimpin sebenar PKR.

PRK kini diketuai isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tiga penjuru bagi BN menang

Sementara itu, Mahathir berkata parti pembangkang yang menentang kerajaan hari ini perlu mengelakkan daripada pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kerana BN kemungkinan besar menang dalam situasi itu.

"Daripada pengalaman saya dahulu, kalau parti pembangkang atau parti menentang kerajaan hari ini tidak bekerjasama, mereka akan kalah dalam pilihan raya seperti telah berlaku kepada mereka sejak 1959 tahun dahulu.

"Apabila mereka bertanding sebagai parti berasingan daripada pakatan parti pembangkang, mereka sebenarnya berjuang untuk BN menang.

"Jadi kita harap kita akan berusaha supaya semua parti lawan bekerjasama dalam satu jenis kesepakatan agar tidak ada pertarungan tiga penjuru," katanya.

Ditanya sama ada ia termasuk penyertaan PAS, Mahathir hanya berkata: " Saya kata semua parti pembangkang termasuklah PAS."

Ditanya sama ada BERSATU akan menghantar ahli hadir himpunan BERSIH 5.0, Mahathir berkata jika matlamat perhimpunan untuk kerajaan bersih, maka ahli BERSATU boleh menyertai himpunan itu.

Lihat Komen
ADS