Paling Popular
Terkini

ULASAN Susulan penolakan Datuk Ahmad Yakob semalam, timbul persoalan siapakah yang layak menggantikan allahyarham Datuk Dr Haron Din sebagai mursyidul am PAS yang baru.

Tambahan lagi, tanggungjawab yang kosong dengan pemergian Haron – pendakwah, ahli akademik, sekali gus tokoh perubatan Islam itu – dilihat terlalu besar untuk sesiapa pun dalam PAS.

Kesulitan mencari pengganti pemimpin tertinggi dalam parti Islam itu bukan perkara baru.

Keadaan sama dirasakan ketika Datuk Nik Aziz Nik Mat, tokoh paling terkenal dalam sejarah enam dekad PAS, meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, membandingkan jurangnya dengan Nik Aziz, kedudukan Haron tidak dirasakan terlalu jauh, lebih-lebih lagi mengambil kira latar belakangnya yang penuh warna-warni.

Keadaan ini berbeza dengan Ahmad, yang sentiasa dibayangi Nik Aziz sebagai menteri besar Kelantan sebelum beliau.

Beliau menjadi timbalan Nik Aziz di Kelantan selama sembilan tahun bermula 2004.

Justeru, imej pentadbir lebih melekat pada dirinya berbanding seorang pemimpin rohani sebuah parti Islam yang sudah berusia 65 tahun.

Persoalannya kini siapa yang layak menggantikan tempat itu? Persoalan ini mungkin sukar dijawab pemimpin kanan PAS sendiri.

Tambahan lagi PAS hari ini berdepan cabaran yang cukup berbeza daripada sebelum ini, dalam keadaan hampir bersendirian dan cuma bersekutu dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan bekas menteri Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Tak ada, belum ada, kata pemimpin

Pada masa yang sama, mursyidul am PAS yang baru nanti bakal berdepan tugas maha penting menentukan hala tuju barunya, sama ada menjadi “parti pantai timur” dan mesra Umno atau berganding bahu bersama pembangkang, walaupun tidak bergabung secara rasmi.

Perubahan daripada Nik Aziz kepada Haron sebelum ini, mahu tidak mahu, harus diakui mewujudkan wajah baru PAS.

Siapa sangka dahulu PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Siapa sangka muktamar PAS akan 'lebih Melayu' daripada parti Melayu Umno, dengan tanjak, tengkolok dan keris panjang sedepa.

Sementara itu, beberapa pemimpin PAS ketika dihubungi semalam masih tidak dapat menjawab siapakah yang layak menggantikan Haron. Malah, ada yang terkejut dengan penolakan Ahmad itu.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Dewan Ulama Nik Zawawi Salleh ketika dihubungi Malaysiakini hanya menjelaskan belum ada nama dan "tunggu mesyuarat" terlebih dahulu.

"Tidak ada," kata Idris.

Zawawi juga menjawab ringkas: "Belum ada".

Dilema mencari pengganti Haron itu diparahlah lagi dengan keanggotaan dalam Majlis Syura yang rata-rata anggotanya dianggap masih “junior” untuk menjawat jawatan itu.

Berdasarkan ketokohan dan populariti, nama yang mungkin boleh dipertimbangkan PAS, termasuklah Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed, bekas anggota parlimen dan pemimpin PAS Kedah Taib Azamudin, bahkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Perlembagaan PAS tidak menyatakan presiden tidak layak dilantik sebagai mursyidul am.

Sanggup tebal muka?

Ia sebaliknya menyebut setiap anggota daripada 17 anggota (maksimum) dalam Majlis Syura layak dipilih ke jawatan itu.

Hadi antara anggota kanan dalam majlis itu, badan tertinggi selepas muktamar tahunan PAS.

Dalam sejarahnya, presiden kelima PAS Yusuf Rawa pernah menjawat kedua-dua jawatan itu pada sekitar tahun 80-an.

Sementara itu, Taib pula dikatakan terkeluar senarai memandang keadaan kesihatannya yang sebelum ini dilaporkan kurang baik.

Bagaimanapun, soal kerusi mursyidul am itu terpulanglah kepada PAS dan Hadi sendiri.

Jika sanggup tebal muka terhadap kritikan 'gila kuasa', ia mungkin memberi lebih peluang buatnya menyatupadukan kembali PAS dengan pengaruh lebih besar, selepas perpecahan dalaman dengan kumpulan pimpinan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu.

Malaysiakini dimaklumkan tarikh mesyuarat Majlis Syura belum ditetapkan dan “mungkin bulan depan”.

Perlembagaan PAS menetapkan badan itu harus bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan. Isu pengganti Haron kemungkinan besar akan dibincangkan.

Tiada pilihan untuk menunggu lalu. Masa tidak menyebelahi PAS ketika pilihan raya dispekulasi meluas bakal diadakan tahun depan.

Lihat Komen
ADS