Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ahli keluarga Lim Chin Aik, seorang nelayan yang meninggal dunia selepas didakwa dipukul lebih 30 orang, menggesa pihak berkuasa mempercepatkan siasatan kes bunuh berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lim, dari Kuala Sepetang, Perak, meninggal dunia pada 16 September di Hospital Raja Permaisuri di Ipoh - enam hari selepas dimasukkan ke wad kerana didakwa mengalami pelbagai kecederaan akibat dipukul.

Permintaan mereka disampaikan kepada pihak polis dalam satu memorandum yang dialamatkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini.

ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, yang mengiringi ahli keluarga memberitahu Malaysiakini bahawa polis perlu menyegerakan dan mendedahkan butiran siasatan ke atas kes itu.

Ini, katanya, berikutan laporan penahanan empat individu di Manjong, Perak untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Dari awal mereka (ahli keluarga) telah meminta untuk maklumat terkini tentang siasatan, selepas mereka membuat laporan polis. Malangnya polis tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

"Keluarga juga telah meminta untuk melihat rakaman CCTV di sebuah stesen minyak (di mana kejadian itu didakwa berlaku) tetapi mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian kerana siasatan sedang dijalankan," kata Chua.

Chua yang juga bercakap bagi pihak kakak Chin Aik, Lim Sok Imm mengatakan bahawa kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada keluarga kerana dia adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

"Dia mempunyai lima anak, berusia antara enam bulan hingga enam tahun," kata Sok Imm, sambil menambah bahawa Chin Aik juga meninggalkan seorang isteri dari Vietnam, Pham Yinxie.

Sinar Harian melaporkan ketika kejadian itu, Chin Aik dalam perjalanan pulang menaiki teksi dari Sitiawan ke Kuala Sepetang, Perak pada 5 September apabila dia mendapati telefon bimbit dan dompetnya hilang.

Pertengkaran didakwa berlaku antara dia dan pemandu teksi itu menyebabkan pemandu teksi berkenaan berhenti di sebuah stesen minyak BHP di Batu 13 Segari, dekat Manjung.

Didakwa lebih daripada 30 orang telah mengepung Chin Aik dan memukulnya di lokasi kejadian.

Chua sebelum ini mendedahkan keluarga telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai dari Balai Polis Daerah Manjung pada 9 September bahawa pemandu teksi itu juga telah membuat laporan polis terhadap Chin Aik.

Beliau berkata, ahli keluarga diberitahu pemandu teksi itu mendakwa bimbang keselamatannya dan menghantar Chin Aik di stesen petrol, kerana didakwa mabuk dan telah memulakan pergaduhan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis mengadakan sesi taklimat khas untuk ahli keluarga bagi memaklumkan kepada mereka tentang perkembangan siasatan ke atas kedua-dua laporan polis berkaitan kes itu.

Lihat Komen
ADS