Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Jika wang terkumpul mencecah jutaan ringgit saja sudah mendebarkan hati kebanyakan orang, apa lagi jika ia dilaporkan mencapai nilai bilion. Ia bukan wang sembarangan.

Ia bukan wang derma, tapi zakat - sejenis 'kekayaan' yang dikumpul daripada orang yang berasa dia berkewajipan membayarnya.

Wang itu pula bukan untuk disimpan atau dilaburkan, sebaliknya diagih-agihkan. Di negara ini ada entiti khusus ditubuhkan untuk mengelola hal berkaitan zakat.

Dalam keadaan begitulah pelbagai cerita muncul. Biasalah, biasanya cerita yang 'busuk' dan negatif yang lebih menarik perhatian.

Antara cerita yang paling popular ialah badan pengurusan zakat gagal melaksanakan tanggungjawab mereka membantu asnaf seperti sepatutnya.

Tidak ketinggalah pelbagai kisah sedih bagaimana pemohon zakat berdepan kerenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan.

Ada juga yang berpendapat zakat itu sejenis makhluk yang "senang masuk susah keluar".

Di sisi bertentangan badan pengurusan zakat menjelaskan bagaimana mereka mencuba sedaya upaya mengelolakan zakat itu supaya memanfaatkan golongan sasaran.

Selain dibentangkan sekian juta ringgit kutipan mereka turut menjelaskan bagaimana dana berkenaan diagih-agihkan.

Mualaf rasa dikhianati

Dalam keadaan bertentangan begitulah cerita orang susah, merempat, kedana, atau pelajar di luar negara terpaksa mengikat perut demi pengajian yang harus ditamatkan serta pekerja peringkat bawahan terpaksa meminjam ke sana sini untuk mencukupkan keperluan muncul dari semasa ke semasa.

Cerita itu menjadi lebih menarik dan 'mendebarkan' apabila dikisahkan ada gereja yang memberikan bantuan kewangan dengan cara yang cukup mudah dan bebas birokrasi.

Bagaimana hati tidak berdebar mendengar perkhabaran itu. Sudahlah orang Islam yang fakir atau terdesak itu dibantu oleh badan bukan Islam, gereja pula.

Di negara yang kuat wasangka antara kaum dan agama ini, ia sangat mencabar maruah dan memalukan.

Ada pula kisah mualaf yang berasa seolah-olah dikhianati apabila tidak dibela selepas mereka membuat keputusan besar dalam hidup kerana menukar agama.

Sebenarnya mualaf yang 'disabotaj' itu bukan oleh agensi pengurusan zakat semata-mata. Ada banyak. Dalam kes tertentu pasangan mereka sendiri - yang biasanya memang sudah beragama Islam - menjadi faktor kekecewaan berkenaan.

Namun agensi pengurusan zakat juga dikecam. Memanglah sebab mereka adalah pihak yang bertanggungjawab mengelola pengagihan zakat. Dan zakat itu diuar-uarkan bernilai berjuta-juta ringgit.

Jika bukan pusat atau lembaga zakat sesebuah negeri siapa lagi yang boleh dipersalahkan? Tentu sekali bukan Jabatan Kerja Raya.

Cuma kecaman dan kritikan itu haruslah adil. Ketika agensi itu mempunyai kaedah, prosedur dan piagam yang tertentu, mungkin di peringkat pelaksanaannya masih lemah.

Ia kira-kira sama dengan beberapa dasar kerajaan juga. Prinsip dan falsafah yang dirangka mungkin cukup bagus namun penyampaian dan pelaksanaannya mengalami ketirisan kronik di sana sini.

Unta depan masjid

Aktiviti mencari golongan asnaf yang layak dibantu juga perlu dipergiatkan - jika ia memang sudah dilakukan. Jika belum, mungkin pihak yang berkenaan tidak berasa apa-apa dengan kritikan masyarakat terhadap institusi agama yang penting itu.

Begitu juga dengan komunikasi antara badan pengelola zakat dan masyarakat. Benar juga kata pengkritik: Jika semasa mengutip zakat mereka boleh membuat kaunter sementara di tempat-tempat tumpuan awam, mengapa tidak kaedah sama dibuat bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada pihak yang memerlukan?

Jika memang sudah dilakukan, apa sebenarnya yang berlaku apabila masih ada asnaf mengadu betapa nasib mereka tidak terbela, atau sekurang-kurangnya sudah dibela agensi zakat?

Islam itu sendiri sukakan sesuatu dipermudahkan. Alih-alih kita mendengar rungutan prosedur bantuan dipenuhi birokrasi. Siapa yang salah?

Isu ini juga berkait dengan masalah persepsi dan imej. Barangkali amalan menguar-uarkan perolehan atau kutipan zakat perlu dikurangkan sedikit.

Tindakan itu kadang-kadang boleh disalah tanggap sebagai menunjuk-nunjuk. Memanglah pihak yang berkenaan akan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan begitu. Hanya agensi agama yang tidak waras mahu mengakui mereka bermegah-megah dengan wang yang dikumpul.

Niat asalnya mungkin baik tetapi ia mesti diiringi dengan praktik yang cerdik juga. Samalah seperti ahli politik. Berperibadi baik dan jujur saja tidak memadai. Mereka perlu lincah dan lihai membaca gerak-geri sekeliling untuk berjaya.

Kecualilah ahli politik itu - atau partinya - memang berpolitik untuk sentiasa tewas.

Ia kira-kira sama seperti membiarkan begitu saja seekor unta di depan masjid kerana pemiliknya perlu bersolat di situ. Niat yang baik mesti disertakan dengan perbuatan yang cerdik.

Lihat Komen
ADS