Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TMJ calon paling layak teraju FAM - Idris Haron
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 7:20 AM
Dikemaskini: 11:23 PM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mencadangkan agar Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatan nombor satu FAM itu akan menjadi kosong selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan anggota baru FAM pada pertengahan tahun depan.

Idris, yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, berkata kejayaan TMJ dalam mengurus dan mentadbir pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sehingga merangkul gelaran Liga Super sebanyak tiga musim berturut-turut, patut diberi perhatian sewajarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat exco negeri semalam, Idris (foto) berkata TMJ merupakan calon paling layak menerajui FAM berdasarkan pencapaian yang telah dikecapi oleh baginda dalam mengurus tadbir kelab JDT, menyediakan prasarana dan pembangunan bola sepak.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya akan memberi tiket percuma kepada penyokong menyaksikan perlawanan muktamad Liga Perdana antara Melaka United dengan Sime Darby di Stadium Hang Jebat pada pukul 9 malam 22 Oktober ini.

"Saya menjangkakan lebih 30,000 penonton akan menyaksikan perlawanan itu di mana Melaka United akan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS