Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Amalkan wasatiyyah, hindar salah tafsir jihad

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini terus mengamalkan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan dan
berwaspada daripada terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad.

Perdana Menteri berkata dengan berpegang kepada hukum hakam Islam yang betul dan syumul, mereka tidak akan menyimpang daripada landasan yang benar.

"...apatah lagi terperangkap dalam fahaman atau ideologi terlalu ekstrem
seperti yang diperlihat kumpulan pengganas Daesh, dan tidak pula terlalu
liberal," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1438H bertema 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah' malam ini.

Najib turut mengingatkan rakyat tentang bahayanya tindakan pihak tertentu yang menyemai bibit perpecahan di negara ini.

"Kita perlu menjauhi segala segala anasir yang mencetuskan perpecahan, termasuk ancaman dalang-dalang dalam negara yang ingin menjatuhkan secara tidak demokratik kerajaan yang dipilih," kata beliau.

"Ini semua dek angkara damak dan racun orang asing serta penjajahan bentuk baharu," kata Najib.

Dalam perutusan itu, beliau mengajak masyarakat Islam merenung sejenak di mana letak duduk mereka sebagai satu umat.

Beliau menimbulkan persoalan sama ada mereka kini golongan yang dihormati kerana ilmu, akhlak dan tamadun seperti waktu dahulu atau kian disalahertikan sebagai puak pelampau dan pengganas sehingga ditafsir daripada perspektif yang salah.

Bagi Malaysia, katanya, UMNO melalui pemerintahan Barisan Nasional telah berjaya hampir enam dekad mengangkat syiar dan pengamalan Islam ke tahap yang dibanggakan.

Najib yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian bahawa Malaysia kini telah dijadikan negara Islam contoh yang maju lagi progresif di seluruh dunia.

Beliau merujuk kepada laporan 'State of the Global Islamic Economy
2015/2016' oleh Thomson Reuters yang meletakkan Malaysia di tangga pertama daripada senarai 73 negara di dunia.

Menurutnya Malaysia juga merupakan penerbit sukuk terbesar dunia merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global bernilai lebih US$320 bilion setakat penghujung 2015.

Malah, hasil daripada laporan kali pertama selepas Indeks Syariah
dilancarkan pada 2015, Malaysia memperoleh skor keseluruhan dalam pelbagai bidang melebihi 75 peratus, kata perdana menteri.

"Namun, kita sedar masih banyak ruang dan ikhtiar yang boleh dilakukan dalam memenuhi agenda umat Islam kini termasuk memperkukuh kebersatuan umat, menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini serta memperkasa ekonomi," kata Najib.

Beliau berkata paling mustahak umat Islam di Malaysia harus terus diperkasa ke arah melahirkan generasi yang Islami dan golongan mudanya dapat bergelar 'Ulul Albab'.

"Dalam kata lain, generasi yang dinamik, berdaya saing, berdaya maju dan penuh nilai-nilai keunggulan ke arah menyegar dan mengembalikan tamadun Islam," kata Najib.

Perdana menteri seterusnya mahu Malaysia terus diperteladan sebagai
negara Islam contoh daripada segenap sudut termasuk ekonomi, siasah dan masyarakatnya.

"Menuju ke hadapan, umat Islam dan rakyat Malaysia perlu melakukan
transformasi dan anjakan paradigma, sentiasa mengamalkan budaya ketekunan, berdisiplin serta sistematik dalam menjalankan tugas dan amanah dalam menghadapi liku-liku serta cabaran mendatang," kata beliau.
-Bernama

Lihat Komen
ADS