Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tolak DAP jika mahukan PAS'
Diterbitkan:  Oct 6, 2016 12:53 PM
Dikemaskini: Oct 9, 2016 12:01 PM

Bermodalkan pengalaman panjang bersama parti lain, PAS memutuskan kini sampai masa untuk mereka memimpin perubahan.

Dalam proses itu kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, sesiapa saja boleh datang kepada parti itu untuk menyertai gagasan yang dibawa dengan syarat mereka mesti menghormati prinsip yang diperjuangankan.

"Syaratnya terlalu mudah, malah senang untuk dihafal iaitu hormati prinsip perjuangan PAS dan tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya dalam kenyataan semalam.

Ia disiarkan portal rasmi parti itu, Harakahdaily.

Untuk merealisasikan kerjasama itu Nasrudin berkata pihak yang berkenaan mestilah mengetepikan DAP yang didakwanya tegas menentang Islam dibawa PAS.

"Justeru sifir mudah bagi mereka yang mahu bersama PAS ialah meninggalkan DAP dan datang kepada PAS dengan semangat setia kawan yang tinggi serta mematuhi syarat mudah iaitu menghormati prinsip perjuangan PAS dan tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh PAS," kata anggota parlimen Temerloh itu.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 parti pembangkang dilihat aktif mencari persefahaman membentuk gabungan yang lebih kuat bagi menghadapi BN.

Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.

Selepas memutuskan hubungan dengan DAP dan menguburkan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 PAS bergerak bersendirian.

Bekas rakan mereka dalam pakatan itu - PKR dan DAP - pula menubuhkan Pakatan Harapan bersama kumpulan serpihan PAS yang membentu Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tak mudah diperdaya

Perkembangan terbaru pula melahirkan satu lagi kumpulan serpihan Umno dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak akhir-akhir ini Muhyiddin dilihat aktif cuba menyatukan pelbagai parti pembangkang melalui persefahaman rasmi.

Kata Nasrudin semua parti pembangkang sedang memerhati dan menanti keputusan PAS.

Katanya mereka menaruh harapan agar PAS menyertai barisan yang dibentuk untuk menentang Umno dan BN dengan formula satu lawan satu.

"Secara mikronya saya melihat mereka sedang mengalami gangguan delusi di pentas politik tanah air, barangkali kesan daripada tindakan terburu-buru menubuhkan parti-parti baru yang kononnya akan membawa mereka menang cepat mengatasi Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Justeru kata Nasrudin tidak pelik apabila mereka menyerang PAS secara bertali arus dengan tujuan mahu melunturkan pengaruh dan sokongan PAS.

"Mereka hina dan perkecilkan PAS sebagai sebuah parti yang tidak boleh bersaing dan seiring dengan mereka untuk menuju garis kemenangan pilihan raya umum ke-14 kelak," katanya.

Antara "fitnah dan tohmahan" dilontarkan kepada PAS dakwa Nasrudin ialah kononnya parti itu memakan 'dedak' Umno dan terperangkap dalam jerat dibuat parti berkenaan.

Namun realitinya, kata Nasrudin, PAS tidak mudah untuk diperdaya oleh mana-mana pihak.

"Sebetulnya, PAS sangat berlapang dada dan mudah berkira bicara dengan mana-mana pihak asal saja dasar dan prinsip perjuangan Islamnya dihormati dan tidak ditentang.

"Tiada yang lebih penting bagi PAS selain Islam. Pemimpin dan ahlinya yang istiqamah hanya meletakkan Islam sebagai hadaf (matlamat semasa) dan reda Allah swt sebagai ghayah (matlamat akhir)," katanya.

Lihat Komen
ADS