Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Maria saman Jamal kerana kaitkan BERSIH dengan IS

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana mendakwa pertubuhan itu diresapi pengganas IS.

Saman berkenaan dikemukakan oleh peguam N Surendran dan Melissa Sasidaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Kata Surendran Maria tidak dapat hadir di mahkamah kerana sedang berada di Kedah menghadiri majlis berkaitan BERSIH.

"Pagi ini kami memfailkan saman sivil bagi pihak anak guam Maria ke atas Jamal Yunos.

"Maria menyaman fitnah Jamal kerana kata-kata yang diucapkannya pada sidang media di dua tempat berasingan minggu lalu.

"Pada sidang media itu Jamal mendakwa BERSIH diresapi IS dan tuduhan itu adalah jelas suatu fitnah pada pandangan anak guam kami," katanya.

Menurut Surendran disebabkan Maria adalah pengerusi BERSIH dan Jamal mengaitkan pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu dengan dakwaan berkenaan, anak guamnya berpendapat ahli politik terbabit melakukan fitnah ke atasnya.

Merujuk Jamal sebagai "pelaku aksi tandas" Surendran juga mengesahkan Maria menuntut sejumlah ganti rugi dalam saman berkenaan.

Semalam Jamal mengoyak dan membuang surat tuntutan daripada Maria ke tandas di depan wartawan.

Sebelum ini BERSIH memberi tempoh 48 jam kepada Jamal - yang sering muncul dengan kumpulan baju merah - untuk membuat permohonan maaf atas kenyataannya sebelum ini.

Jumpa di mahkamah

Surendran yang juga anggota parlimen Padang Serai turut mengesahkan Maria memfailkan permohonan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Jamal mengulangi tuduhan "tidak masuk akal" itu.

"Pagi ini kami memfailkan saman yang bermakna isu ini mesti dibicarakan. Di sana saya dan Melissa akan menyoal Jamal dan kami akan mendedahkan semua tuduhannya terhadap anak guam kami adalah pembohongan semata-mata," katanya.

Jamal pada 28 September lalu dilaporkan mendakwa perhimpunan BERSIH 5 yang dijadual diadakan pada 19 November ini diserapi elemen kumpulan pengganas IS.

Katanya kenyataan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diterimanya dairpada sumber yang boleh dipercayainya.

Jamal juga mendakwa BERSIH mahu menjatuhkan kerajaan melalui cara pernah dilakukan di Thailand, iaitu dengan mengepung tempat-tempat penting dalam negara seperti lapangan terbang KLIA, KLIA2 dan Putrajaya.

Sementara itu Jamal yang dihubungi Malaysiakini memberitahu BERSIH bebas untuk mengambil tindakan berkenaan kerana ia adalah hak yang terkandung dalam undang-undang negara.

"Mereka gunakan hak mereka kerana mungkin tidak berpuas hati dengan apa yang saya katakan.

"(Pada masa sama) mereka kata Suruhanjaya Pilihan Raya tak telus, Datuk Seri Najib Razak korup. Tapi kita ada saluran undang-undang (untuk menyatakan bantahan) dan bukannya mengadakan perhimpunan, menghasut rakyat turun ke jalan raya menggulingkan kerajaan yang dilantik rakyat," katanya.

Jamal juga berkata dia tidak bimbang sama sekali terhadap saman berkenaan kerana mempunyai keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

"Walau apa pun yang mereka lakukan, saya tetap mempertahankan apa yang saya kata, yang saya buat.

"Kita jumpa di mahkamah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS