Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN Kedah sudah cukup ranum untuk terjatuh - Muhyiddin
Diterbitkan:  Oct 7, 2016 12:48 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yakin BN bakal tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang berikutan sentimen rakyat di negeri itu selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipaksa melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Ini kerana, menurut presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri besar baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diterima baik oleh rakyat negeri Kedah.

"Selepas Mukhriz disingkirkan... mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selepas peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN, penerimaan mereka kepada MB baru (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz," katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri yang dipecat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga dilaporkan berkata beliau telah memberi nasihatnya tetapi tidak diendahkan.

"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada kejatuhan BN, tapi yang pasti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh," katanya.

Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun lalu, dan disingkirkan sebagai menteri besar Kedah meskipun di sebalik kejayaannya merampas negeri jelapang padi itu daripada PAS pada tahun 2013.

Ketika itu, BN berjaya mendapatkan 21 kerusi berbanding 15 yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Tahap kesihatan Ahmad Bashah sentiasa menjadi persoalan apabila beliau dilaporkan pitam ketika menghadiri mesyuarat pada 4 Jun lalu dan sering mendapat rawatan susulan.

Bagi ramai pemerhati politik, Mukhriz adalah mangsa akibat perang mulut antara bapanya, dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Najib. Namun Umno Kedah mendakwa Mukhriz gagal menyatupadukan parti dan tidak mempunyai strategi membangunkan negeri itu.

Mahathir, yang pada satu masa menyokong Najib, kini telah menjadi pengkritiknya paling sengit, terutama selepas dakwaan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya sebelum PRU13.

Lihat Komen
ADS