Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH kemuka alternatif, dakwa lebih baik dari usul Hadi

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengemukakan usul alternatif terhadap rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata usul mereka lebih menyeluruh berbanding cadangan Hadi – yang menurutnya kabur dan terbuka kepada salah tafsir.

“Semua orang akan dapati usul kami senang untuk difahami dan diterima... Jelas usul kami dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bercakap soal memperkasakan Mahkamah Syariah bukan hanya dengan mempertingkatkan hukuman, tetapi juga keberkesanan.

“Ia lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Usul AMANAH itu antaranya mencadangkan pembentukan sebuah majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa Mahkamah Syariah.

Usul itu diserahkan minggu lalu oleh anggota parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan parlimen minggu depan.

Ditanya berkaitan usul Hadi, Khalid berkata AMANAH bersetuju secara prinsip tetapi, katanya lagi, ia mesti terikat dengan perlembagaan.

Khalid juga berkata mereka telah cuba mendapatkan penjelasan terperinci daripada Hadi berkaitan RUU yang akan dikemukakannya tetapi tidak berbalas.

Usul Hadi bertujuan untuk menambah bidang kuasa mahkamah syariah, selain yang melibatkan hukuman mati.

Pengkritik bimbang ia membuka laluan terhadap pelaksanaan hudud di negara ini.

Lihat Komen
ADS