Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) menggesa polis menahan pemimpin kumpulan baju merah selepas pengikut mereka didakwa terbabit mengasari petugas media di Kuala Selangor pada 15 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi NUJ Chin Sung Chiew berkata tiada mana-mana petugas media wajar dikasari ketika menjalankan tugas mereka.

"Walaupun kita tahu Jamal di belakang kumpulan baju merah ini, kami sebenarnya tidak memusuhi mana-mana pihak, sama ada baju merah atau kuning

"Kami cuma menegaskan bagi pihak media kami berpendapat wartawan tidak wajar diganggu mana-mana pihak ketika menjalankan tugas," katanya di luar Balai Polis Daerah Brickfields di Seri Petaling Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Exco NUJ Basir Abu Bakar.

Sebelum itu Chin membuat laporan kepada polis mengenai kekasaran dan serangan beberapa individu antigerakan BERSIH di depan sebuah pasar raya di Kuala Selangor Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu sekurang-kurangnya dua petugas media dikasari, termasuk seorang daripadanya dari Malaysiakini yang dipanggil "Cina babi".

Wartawan sedang membuat liputan konvoi BERSIH dari Sekinchan ke Kuala Selangor apabila kejadian berkenaan berlaku.

Polis mengesahkan sudah menahan tiga individu berhubung kejadian berkenaan namun setakat ini belum ada sesiapa didakwa atas insiden itu.

Mesti ada ketua

Semalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mengecam tindakan berkenaan dan mendesak kejadian seumpama itu dihentikan segera.

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah seorang daripada pemimpin utama kumpulan baju merah. Bagaimanapun beliau dilaporkan berada di luar negara pada Sabtu lalu.

Jamal sepatutnya memberi keterangan kepada polis berhubung satu status dimuat naik di Facebook yang mengaitkan BERSIH dengan insiden 13 Mei 1969 dan "parang terbang".

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menyiasat Jamal selepas itu.

Sementara itu Setiausaha Agung NUJ Schave Jerome De Rozario berkata polis perlu bertindak bagi mengelak kejadian sama berulang, terutama menjelang perhimpunan BERSIH 5 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

"Kami mahu memberitahu polis supaya bertindak ke atas orang ini.

"Jangan cuma kata polis akan mengarahkan mereka jauh (dari tempat kejadian) atau cuba meredakan keadaan kerana sedang menjadi masalah semakin besar," katanya.

Sambil menegaskan semua rakyat berhak untuk berkumpul dan menunjuk perasaan ia mesti dibuat secara aman dan tiada kakitangan media boleh diancam atau diserang ketika bertugas.

Ditanya sama ada NUJ akan mengambil tindakan ke atas Jamal Schave berkata persatuan itu tidak tahu siapa yang bertanggungjawab atas kejadian pada Sabtu lalu.

"Tetapi mesti ada seorang ketua di belakang mereka. Tangkaplah mereka," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS