Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Potongan subsidi: Harga makanan dijangka naik - Fomca

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan harga makanan akan naik berikutan pemansuhan subsidi minyak masak yang dijangka bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017, esok.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan akan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, harga makanan di negara ini sudah sedia mahal walau sebelum subsidi ditarik balik.

“Harga minyak tidak naik pun, harga makanan akan naik juga itu terpaksalah nak buat macam mana,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik tindakan kerajaan yang mahu menarik subsidi tersebut kerana katanya pihak yang tidak layak turut menerima mendapat manfaat subsidi itu.

Namun katanya, di sebalik penarikan itu kerajaan perlu mewujudkan langkah baru seperti pemberian kad pembelian subsidi minyak kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Kita (PPIM) antara yang menggesa kerajaan tarik subsidi kerana kita lihat subsidi ini banyak disalah guna jadi hari ini kita nak kerajaan buat langkah tertentu kepada mereka yang memerlukan.

“Kalau orang susah mohon beli minyak, tunjuk kad dia dapat subsidi, dia dapat beli murah maknanya subsidi ini akan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Putrajaya dilaporkan melaksanakan "pelan rasionalisasi subsidi" sejak Najib mengambil alih teraju pemerintahan negara pada awal tahun 2009.

Sebelum ini, Putrajaya telah mengurangkan subsidi untuk minyak, bayaran tol lebuh raya dan memansuhkan subsidi gula.

Berita muncul tahun lalu bahawa Putrajaya bercadang menghapuskan dana RM950 juta skim penstabilan harga minyak masak yang disalurkan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Semalam akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan, Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya mengeluarkan kenyataan mengumumkan harga beberapa kategori minyak masak akan meningkat mulai bulan depan.

Kategori minyak masak yang terjejas itu termasuk 500g, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg produk minyak campuran serta 500g, 1kg, 2kg dan 3kg produk minyak sawit tulen.

Ia juga menyebut, minyak sawit tulen dalam botol 5kg akan terus di subsidi sehingga tahun depan.

Menurut laporan itu, sebungkus minyak masak yang seberat satu kilogram dijangka meningkat daripada RM2.50 kepada RM2.90 menjelang bulan depan, manakala botol minyak sawit tulen 5kg akan naik daripada RM13.35 kepada RM15.25 menjelang Januari 2017.

Lihat Komen
ADS