Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam, kerani didakwa edar dadah
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 3:41 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Seorang peguam di sebuah firma guaman di ibu negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban atas dua pertuduhan mengedar dadah seberat lebih satu kilogram, minggu lepas.

Peguam lelaki itu turut dituduh bersama seorang kerani wanita yang juga rakannya.

Tertuduh, G Sivakumar, 50, dan P Sivagami, 38, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim, bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap kesemua pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Sivakumar dan Sivagami didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 95.5 gram di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah bernombor di Taman Desa Seringin, Nilai dekat Seremban pada 8 malam 14 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kanabis seberat 1 kg di lokasi dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Haresh dan Ramzani Idris.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS