Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS pilih hujah, debat jika bantah belanjawan
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 6:50 PM
Dikemaskini: Oct 22, 2016 2:48 AM

Ketika sebahagian besar pembangkang mengambil langkah meninggalkan Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Najib membentangkan belanjawan, PAS kekal di tempat masing-masing.

Alasan parti itu, walaupun bukan semua kandungan Bajet 2017 dipersetujui PAS ada cara untuk mereka menyatakan pandangan mengenainya.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata parti itu memilih kaedah mengemukakan pandangan dan hujah bantah secara ilmiah dalam perbahasan.

Katanya pada pandangan PAS juga ada perkara yang baik untuk rakyat dan negara dalam Bajet 2017.

Jika ada sesuatu yang tidak dipersetujui kata Nasrudin wakil rakyat mereka boleh mengundi untuk menolaknya pada sesi pengundian nanti.

“Malah peraturan di Dewan Rakyat ini, jika kita tidak bersetuju pun dengan bajet, kita boleh memilih mengundi untuk menolak dalam sesi pengundian,” kata Nasruddin melalui kenyataan kepada media.

Anggota parlimen Temerloh itu berkata demikian selepas wakil dari PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Antara yang meninggalkan Dewan Rakyat ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas menteri kabinet Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini memimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagaimanapun tidak keluar dari dewan bersama pembangkang lain, sebaliknya berbuat demikian beberapa ketika kemudian.

Pemuda PAS puji Pandikar

Sebelum itu sebahagian pembangkang beramai-ramai mengangkat plakad bertulis #SiapaMO1’ di dalam dewan.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata mana-mana ahli parlimen tidak berhak untuk mengganggu ucapan Najib meskipun perdana menteri ketika itu menyindir pembangkang.

Kata ketua pemuda PAS itu pembangkang boleh menggunakan ruang perbahasan selepas ini untuk mengkritik bajet yang dibentangkan Najib.

“Pembentangan bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia adalah hari dan masa khas untuk PM berucap membentangkan bajet.

“Masa untuk ahli parlimen membahas dan menghujah bajet adalah selepas ini.

"Saya harap ia digunakan sebaik-baiknya oleh semua ahli parlimen tanpa membazirkan masa dengan perlakuan yang tidak profesional yang hujungnya mematikan masa dan peluang ahli-ahli parlimen yang di giliran akhir mengambil bahagian perbahasan dengan sempurna,” katanya.

Nik Abduh turut mengingatkan ahli parlimen lebih bersikap profesional malah katanya, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah melakukan yang terbaik bagi memastikan perjalanan Dewan Rakyat berjalan lancar.

“Ahli parlimen perlu lebih profesional ketika berada di dewan persidangan. Tuan Yang Di Pertua Dewan telah berusaha bersungguh-sungguh membawa penambahbaikan dalam perjalanan Dewan agar lebih mulia dan dihormati,” katanya.

Nik Abduh berkata PAS sentiasa mempromosikan kesederhanaan serta menyeru rakyat di negara ini untuk melakukan perubahan dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Lihat Komen
ADS