Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ingatkah apa yang berlaku kepada Ali Rustam, tanya DAP
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 5:25 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Anggota Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai kisah bagaimana dendam politik yang meresapi pemimpin Umno sehingga menyebabkan beliau tersungkur pada pilihan raya umum yang lalu.

Pemimpin Umno yang dimaksudkan ialah bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang tewas mengejut di kerusi kubu kuatnya, Parlimen Bukit Katil setelah dikalahkan oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR dengan dengan majoriti 5,447 undi.

Kok berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Abdul Rahman sebelum ini mengenai rancangan Putrajaya untuk menyenarai hitamkan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan dengan kerajaan dan mempunyai kaitan dengan BERSIH.

"Saya ingin ingatkan beliau bahawa pemikiran rakyat Malaysia yang waras tidak akan menerima politik dendam dan adalah bijak untuknya belajar dari sejarah - pengalaman Melaka," kata Kok yang juga naib pengerusi DAP.

Pada tahun 2000, kerajaan negeri yang dikepalai Mohd Ali telah menyenarai hitamkan 20 kontraktor tempatan kerana kononnya menyokong pembangkang pada pilihan raya umum 1999, ujar Kok.

Tambah beliau, kerajaan negeri Melaka juga telah menamatkan perkhidmatan 21 doktor yang dilantik panel negeri serta menutup akaun simpanan tetap di dua bank setelah para pekerjanya dikatakan pro-pembangkang.

"Tetapi apakah orang Melayu yang menjadi mangsa politik dendam Mohd Ali menjadi takut dan memberi sokongan kepada BN atau Umno? Jawapannya adalah tidak.

"Lihatlah apa yang telah berlaku kepada Mohd Ali?

"Beliau tewas di kubu kuat tradisional Umno, Bukit Katil pada pilihan raya umum 2013 dan hari ini cuba terus hidup dalam politik dengan menjadi senator," jelasnya.

Pada masa yang sama, Kok turut mempersoalkan sama ada kenyataan Abdul Rahman itu disokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kabinet.

Beliau juga bertanya bagaimana individu 'cerdik-pandai' seperti Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud boleh mengutarakan cadangan sedemikian.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS