Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gadis Afghan' si mata hijau ditangkap, berdepan dakwaan rasuah
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 12:10 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

GLOBAL Sharbat Gula bukan model atau artis tetapi beliau menjadi wanita penghias kulit depan majalah paling popular di dunia sejak 32 tahun lalu.

Gambarnya ketika 12 tahun di kem pelarian Afghanistan pada tahun 1984 itu membuatkan dia digelar 'Gadis Afghan' dan “Mona Lisa perang Afghan”.

Bagaimanapun siapa sangka wanita bermata hijau yang dipopularkan oleh majalah antarabangsa National Geographic itu ditangkap dan dikaitkan dengan amalan rasuah kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Memetik Dawn, Independent melaporkan Gula ditangkap di rumahnya di Peshawar, Pakistan, kelmarin oleh Agensi Siasatan Persekutuan Pakistan (FIA).

Pakistan sejak berdekad-dekad menerima jutaan pelarian Afghanistan yang lari selepas serangan Soviet pada 1979.

Gula kembali mendapat perhatian awam tahun lepas selepas jabatan pendaftaran Pakistan dilapor membatalkan kad pengenalannya dan dua lelaki yang disenaraikan sebagai anaknya mengaku kad pengenalan itu dikeluarkan secara haram.

“Mereka mungkin bukan anaknya tetapi sudah menjadi amalan biasa di kalangan pelarian Afghan menyenaraikan nama bukan saudara sebagai anak untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri,” kata jurucakap jabatan itu, Nadra.

Katanya, Gula - kini berusia 46 tahun - berdepan hukuman 14 tahun penjara atau denda sehingga AS$5,000 jika disabitkan kesalahan.

Lihat Komen
ADS