Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Khidmat Medivest tak digantung sepanjang siasatan'
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 1:11 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Kerajaan tidak bercadang untuk menggantung perkhidmatan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Medivest Sdn Bhd sepanjang tempoh siasatan terhadap kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ini bagi mengelakkan perkhidmatan sokongan hospital bukan sahaja di HSA terjejas, tetapi Medivest turut membekalkan perkhidmatan kepada 12 hospital di Johor, enam di Negeri Sembilan, dan tiga di Melaka.

"Kementerian tidak bercadang untuk menggantung perkhidmatan Medivest semasa siasatan kerana ini akan memberi kesan kepada perkhidmatan sokongan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Bagaimanapun Medivest boleh dikenakan penalti atau lain-lain tindakan yang lebih tegas jika didapati tidak mematuhi obligasi yang ditetapkan dalam jawatankuasa perjanjian konsesi hasil daripada laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas kelak," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) yang ingin tahu sama ada perkhidmatan syarikat itu akan digantung semasa siasatan.

Dr Hilmi berkata anggaran kos kontrak Medivest untuk semua hospital itu adalah RM350 juta, melibatkan perkhidmatan penyenggaraan kejuruteraan fasiliti, penyenggaraan kejuruteraan biomedikal, linen dan pendobian, pengurusan sisa fasiliti kesihatan, perkhidmatan pembersihan dan perkhidmatan pengurusan fasiliti.

Menurutnya, Jawatankuasa Siasatan Bebas yang ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai kebakaran itu diharap dapat memberi petunjuk dan membuat penambahbaikan terhadap sistem pengurusan hospital yang lebih selamat.

Katanya jawatankuasa itu yang diketuai Jabatan Kerja Raya turut dianggotai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Jurutera Malaysia, selain bahagian perkhidmatan kejuruteraan dan bahagian perancangan Kementerian Kesihatan.

Kepada soalan tambahan Liew mengenai bilakah tempoh konsesi Medivest Sdn Bhd berakhir dan sama ada kementerian bercadang menawarkan tender terbuka selepas itu, Dr Hilmi berkata kontrak itu akan berakhir pada 2025.

"Selepas tu kami akan fikir semula sama ada nak tender terbuka atau sebagainya. Kontrak baru itu ditandatangani pada tahun lepas. Ini sambungan daripada 15 tahun sebelum itu, (manakala) ini tambahan untuk 10 tahun," katanya.

Menurutnya syarikat antarabangsa turut dilantik bagi menilai prestasi perkhidmatan Medivest Sdn Bhd sebelum membuat sebarang sambungan kontrak.

Pada kejadian kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.

Tiga kakitangan hospital itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Sehari selepas itu, kepulan asap dikesan di bilik pembedahan hospital yang sama akibat lintar pintas.

Satu pasukan petugas pelbagai agensi telah ditubuhkan untuk menyiasat kebakaran itu.

Lihat Komen
ADS