Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh: K'jaan negeri dirayu selaras kuasa untuk turunkan harga rumah

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang merayu kerjasama setiap kerajaan negeri supaya menyelaraskan kuasa sedia ada dalam usaha menurunkan harga rumah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu akan diketengahkan oleh beliau pada mesyuarat perumahan negara akan datang yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita minta kerjasama daripada semua kerajaan negeri supaya kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan negeri dapat diselaraskan supaya dapat membantu harga rumah diturunkan

"Kita hanya boleh merayu, ini kuasa kerajaan negeri supaya dapat diselaraskan mudah-mudahan kalau ada sumbangan daripada pihak kerajaan negeri maka harga rumah dapat diturunkan," kata Noh dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Menerusi Bajet 2017, sebanyak 30,000 rumah kos mampu milik bakal disediakan di lokasi strategik selain 5,000 unit rumah mesra rakyat dan 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa golongan muda.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Tanjong Karang itu berkata kerajaan pusat telah melakukan pelbagai usaha bagi membantu rakyat memiliki rumah mampu milik seperti menubuhkan rumah PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui KPKT, Felda dan Felcra.

"Ini usaha kerajaan pusat dan kita berharap pihak swasta juga dapat bersama dengan kita untuk menyediakan rumah mampu milik dan kerjasama daripada kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya apakah langkah seterusnya jika kerajaan negeri enggan bersetuju dengan cadangan beliau, Noh berkata pihaknya akan menghormati segala keputusan yang akan dibuat.

"Itu kita kena hormati Perlembagaan. Ada kuasa kerajaan negeri, tanah, tentukan harga premium dan caj pematuhan kerajaan negeri," kata Noh.

Namun, Noh berkata kementeriannya akan cuba memberikan nasihat agar kerajaan-kerajaan negeri bersama-sama dalam usaha menurunkan harga rumah.

Mesyuarat perumahan negara dijangka akan berlangsung pada 24 November depan di mana ia dianggotai oleh semua menteri besar dan ketua menteri.

Lihat Komen
ADS