Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Untung sebelum cukai suku ketiga MAHB jatuh kepada RM43 juta
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 3:40 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Keuntungan sebelum cukai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada suku ketiga berakhir 30 September 2016 jatuh kepada RM43 juta berbanding RM58.8 juta setahun lalu.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu mengaitkan prestasi itu kepada kerugian sebelum cukai lebih tinggi daripada operasi di seberang laut, tetapi diimbangi oleh keuntungan sebelum cukai daripada operasi di Malaysia.

Bagaimanapun, pendapatan pengendali lapangan terbang itu meningkat kepada RM1.07 bilion berbanding RM1.02 bilion sebelum ini.

MAHB berkata, operasi di Malaysia mencatat kenaikan 23 peratus atau RM16.2 juta dalam keuntungan sebelum cukai berikutan pendapatan lebih tinggi serta pendapatan lain.

Operasi di seberang laut mencatat kenaikan dalam kerugian sebelum cukai 278.3 peratus atau RM32.0 juta disebabkan pendapatan rendah oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen dan LGM Havalimani Isletmeleri
Ticaret ve Turizm di Turki serta Malaysia Airports Consultancy Services Middle East LLC.

Mengenai prospek operasi di Malaysia, MAHB berkata, trafik penumpang untuk suku keempat dijangka mengatasi suku lain berikutan peningkatan faktor muatan dan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan.

Kumpulan itu menjangka sumbangan seberang lautnya akan meningkat selepas mendapat sambungan tiga tahun untuk perkhidmatan pengurusan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, Qatar.

"Lanjutan kontrak itu bernilai RM180.8 juta dan memberi petanda baik untuk operasi kumpulan di seberang laut," tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS