Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dokumen bocor: Soros ada 'kepentingan peribadi' dalam PRU M'sia
Diterbitkan:  Oct 31, 2016 4:40 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Dokumen yang didakwa berasal daripada jaringan penjana bantuan antarabangsa Open Society Foundation (OSF) menunjukkan pengasasnya George Soros, mempunyai “kepentingan peribadi” dalam pilihan raya Malaysia.

Dokumen itu, dikatakan minit mesyuarat Program Malaysia OSF bertarikh 22 Jun 2015 dibocorkan oleh DC Leaks, laman web yang mencuri perhatian selepas menggodam pelayan e-mel jawatankuasa kebangsaan parti Demokrat Amerika Syarikat, tahun lalu.

Dokumen itu menyebut, oleh kerana pilihan raya 2013 yang dilihat penting serta kepentingan peribadi Soros, diputuskan OSF patut mempertingkat usaha dan memperkasakan jaringannya dengan membawa masuk pakar luar dan menjalankan program advokasi.

OSF telah dihubungi bagi mendapatkan reaksi dan pengesahan sama ada dokumen itu berasal daripada mereka.

Dokumen itu digambarkan sebagai semakan portfolio untuk program OSF di Malaysia bagi mendukung pilihan raya bebas dan adil.

“Semakan portfolio itu membangkitkan persoalan bagaimana Program Malaysia akan terus menyokong penglibatan masyarakat sivil dalam urus tadbir yang baik dan keutamaan ke arah pilihan raya umum 2018.”

Antara didakwa berada dalam mesyuarat itu ialah ketua pembantu Program Malaysia Mary Agnes James, Presiden OSF Christopher Stone dan Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.

Menurut dokumen itu, tugas utama OSF ialah untuk memberi bantuan kewangan kepada masyarakat sivil yang mahu mempromosikan pilihan raya bersih dan adil.

OSF dikatakan berpendapat bahawa penerima-penerima bantuan dana penting untuk merangsang penyertaan awam dan menyokong usaha-usaha masyarakat sivil.

“Dukungan OSF berkesan terutamanya terhadap penyertaan golongan muda, dengan ratusan ribu anak muda digerakkan,” menurut dokumen itu.

Ibrahim pula dikatakan memberitahu mesyuarat itu bahawa tinjauan Merdeka Center mencadangkan Program Malaysia patut melibatkan lebih ramai pengundi beragama Islam.

Walaupun nama BERSIH tidak disebut dalam dokumen itu, New Straits Times (NST) dan The Malay Mail mengaitkan gabungan NGI itu dengan Program Malaysia dalam laporan masing-masing hari ini.

Menurut NST, Pengerusi BERSIH Maria Chin dan BERSIH menerima dana daripada OSF dan National Democratic Institute pada 2010 dan 2011

“Tetapi kami tidak gunakan untuk perhimpunan-perhimpunan kami. Jumlah yang diberi pada kami hanya 11 peratus daripada dana yang dikutip dari orang awam pada 2011,” Maria dipetik sebagai berkata.

Sejak itu, katanya lagi, dana-dana BERSIH dikumpul melalui saluran dalaman dan mereka telus berkaitan perkara itu.

Menurut Malay Mail pula, Ibrahim dikatakan diundang memberi pandangan berkaitan masyarakat sivil di Malaysia.

“Tiada bayangan atau petunjuk bahawa mesyuarat itu berkaitan campur tangan dalam urusan politik dalam negara,” kata Ibrahim yang dilapor meninggalkan mesyuarat itu selepas bercakap.

Malaysiakini dan KiniTV turut disebut sebagai penerima dana daripada program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran berkata dana berkaitan KiniTV digunakan untuk menghasilkan program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.

“Dana yang disebut itu untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita berkaitan Sarawak, yang sukar kepada Malaysiakini, memandangkan faktor kos dan kesukaran membuat liputan di kawasan yang besar,” kata Premesh.

Katanya, dana itu juga hanya sebahagian kecil daripada hasil Malaysiakini, yang kebanyakan bergantung kepada langganan dan iklan.

“Kesemua bantuan berada bawah 10 peratus daripada bajet keseluruhan Malaysiakini bagi memasitikan laman web ini tidak bergantung pada satu sumber dana,” kata Premesh.

Untuk mengetahui berkaitan dasar ketelusan dan kepertanggungjawapan Malaysiakini, sila klik di sini.

Malaysiakini tidak terlibat dengan urusan untuk 'menggulingkan' kerajaan. Malaysiakini mahu kerajaan pusat, negeri dan kerajaan tempatan serta pegawai kerajaan dan pemegang-pemegang kuasa bertanggungjawab kepada rakyat.

“Terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan, melalui proses pilihan raya yang bebas dan adil, yang diperuntukkan oleh semangat demokrasi dalam perlembagaan,” kata Premesh.

Lihat Komen
ADS