Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal soal, Mkini perjelas sambil pekena kopi, teh tarik
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 5:02 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Kedatangan kumpulan Baju Merah diketuai pemimpin Umno bahagian Datuk Seri Jamal Md Yunos di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya melibatkan perbincangan mesra di kedai kopi.

Selepas berkumpul di depan pejabat Malaysiakini di Jalan Tandang, seramai 10 wakil kumpulan itu diundang masuk untuk berbincang di dalam ruang pejabat portal berita ini.

Kumpulan Jamal disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, Ketua Pengarang RK Anand dan Pengarang Bahasa Malaysia Jimadie Shah Othman.

Mereka kemudian diajak ke kedai kopi di bahagian bawah pejabat.

Selepas berbual-bual sebentar dan masing-masing memesan minuman – teh tarik, kopi O dan air mineral – Jamal memulakan kata dengan meminta penjelasan Malaysiakini berkaitan dana yang didakwanya diterima daripada hartawan asing George Soros.

Menyifatkan sambutan hari ini cukup “mesra alam”, Jamal bagaimanapun memberi amaran akan mengadakan perhimpunan besar melibatkan 20,000 orang jika isu itu tidak dijelaskan.

Beliau juga memberi amaran sebahagian bangunan Malaysiakini mungkin akan runtuh nanti.

“Sekurang-kurangnya 20,000 orang akan turun ke sini. Dan kita akan pastikan sebahagian bangunan ini akan runtuh pada 5 November (Sabtu depan).

Gan kemudian meminta pengesahan berhubung amaran itu sama ada beliau akan benar-benar memusnahkan bangunan itu.

I tak tahu, I tak tau runtuh macam mana. Terpulang pada tafsiran you. I tak kata nak destroy, I tak sebut, you sebut,” katanya.

Terima kasih kepada polis

Pengarang-pengarang Malaysiakini pula berkata mereka telah menjelaskan berkaitan dana diterima mereka dan maklumat itu boleh disemak di laman web berkenaan.

Dijelaskan juga bahawa geran diterima daripada Open Society Foundation (OSF) digunakan untuk menghasilkan program berita berkaitan Sarawak.

Mereka menyatakan Malaysiakini sudah menyediakan penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan dan ia boleh dibaca pada laman web portal berita berenaan, manakala aspek kewangan sudah diaudit setiap tahun dan terbuka kepada penelitian Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pengarang Malaysiakini juga menolak dakwaan Jamal bahawa mereka mempunyai agenda untuk merosakkan sistem demokrasi di negara ini sebaliknya hanya menyediakan laporan alternatif, yang juga menjadi tunjang kepada sesebuah demokrasi.

Dalam pertemuan itu, Jamal itu menunjukkan klip video mengandungi dakwaan-dakwaan terhadap Soros.

Pertemuan berakhir dengan masing-masing pihak saling bersalaman.

Pengurusan Malaysiakini turut menyatakan penghargaan kepada pasukan polis yang mengawal keadaan dan keselamatan sepanjang tempoh pertemuan itu berlangsung.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jamal berkata apa yang paling penting apabila Malaysiakini mengaku menerima wang daripada OSF, tidak kira berapa pun jumlahnya.

Ditanya lagi sama ada himpunan pada hari Sabtu ini akan diteruskan, Jamal menjawab: "Alhamdulillah, kami telah dapat penjelasan, disaksikan media, (mereka) mengaku terima sumbangan tersebut, (mereka) kata telah berikan penjelasan di laman web.

“Itu yang kita nak dengar, bukan berapa banyak dapat, tapi sejauh mana hubungan dengan penyangak (Soros),” katanya.

Lihat Komen
ADS