Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sah Dr M hadir di Parlimen Selasa ini, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 12:43 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberitahu bahawa Tan Sri Sanusi Junid telah mengesahkan kehadiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen pada Selasa akan datang.

Kedatangan Mahathir bersama-sama Sanusi itu bertujuan untuk mengadakan perbincangan tentang usaha mempertahankan Parlimen dan kuasa imuniti dalam Parlimen, kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Mahathir dijangka mengadakan perbincangan bersama anggota-anggota Parlimen termasuk bekas menteri dan ahli parlimen, katanya lagi dalam kenyataan.

Perbincangan itu dipercayai berkaitan siasatan ke atas beberapa anggota Parlimen yang membangkitkan isu 1MDB dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan kini kenyataan mereka sedang di ambil oleh pihak polis.

Antara ahli Parlimen yang sedang disiasat ialah MP Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, MP Sempoerna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan MP Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis mempunyai sebab-sebab mencukupi untuk menyiasat tiga bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan.

"Apa yang diperkatakan oleh beberapa ahli Parlimen, termasuk (ahli Parlimen Puchong) Gobind Singh bahawa kita tidak mempunyai asas untuk siasat adalah tidak betul kerana terdapat unsur-unsur hasutan yang dilakukan oleh ketiga-tiga bekas menteri," kata Khalid.

Walaupun beberapa ahli Parlimen telah menyebut imuniti parlimen sebagai sebab siasatan ke dalam tiga bekas menteri itu tidak mengikut Perlembagaan, kekebalan tersebut tidak meliputi Akta Hasutan, ujar Khalid lagi.

Mengulas lanjut, Lim berkata, atas insiden itulah, mesyuarat di kalangan ahli Parlimen bersama-sama bekas ahli Parlimen pada Selasa ini perlu diadakan bagi merungkai persoalan kualiti demokrasi berParlimen di Malaysia yang mahu dibina untuk generasi akan datang.

"Inilah sebab mengapa saya cadangkan mesyuarat permulaan di kalangan semua ahli Parlimen (termasuk bekas ahli Parlimen dan bekas Menteri) untuk berbincang mengenai krisis perlembagaan yang dihadapi Malaysia dalam doktrin pengasingan kuasa di antara eksekutif, perundangan dan kKehakiman," tambahnya.

Lihat Komen
ADS