Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sejuta peluang kerja 'melayang' jika TPPA berkubur - MITI
Diterbitkan:  Nov 10, 2016 5:22 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mengunjurkan satu juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Malaysia jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terlaksana.

"Jika tiada TPPA, maka perkara tersebut tidak akan dihasilkan," jelas Mustapa sambil berkata kerajaan yakin dengan dapatan kajian PwC itu sejajar dengan jangkaan pihaknya bahawa perjanjian dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) itu akan membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

Justeru, kata beliau lagi, Malaysia mungkin menerima kesan jika TPPA tidak diteruskan susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada semalam, memetik laporan Bernama.

Mustapa berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Asia Perniagaan Australia anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-Australia (MABC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Kebimbangan mengenai terbatalnya TPPA itu tercetus ekoran kenyataan Trump dalam kempennya tidak lama dahulu yang mahu perjanjian tersebut berkubur jika beliau dinobatkan sebagai presiden AS yang baru.

Menyifatkan TPPA sebagai perjanjian perdagangan yang 'dahsyat', Trump mahu ia dibatalkan kerana mendakwa ia sebagai tidak memberi kelebihan kepada negara Uncle Sam itu.

TPPA yang melibatkan 12 negara iaitu AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia telah memuktamadkan rundingan di Atlanta pada 5 Oktober 2015 dan menandatangani perjanjian di Auckland pada 4 Februari 2016.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang telah dirundingkan sebagai sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia kekal komited kepada TPPA, dan akan membincangkan mengenai perjanjian itu semasa mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru dalam tempoh dua minggu lagi.

"Sekarang ini masih terlalu awal untuk mengatakan apa yang akan berlaku namun kita memantau perkembangannya dan berbincang dengan rakan kita dari 11 negara lain," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapa berkata ahli perniagaan Australia dan Malaysia perlu meneroka untuk menjalankan perniagaan secara bersama dan menembusi negara dunia ketiga.

"Malaysia mempunyai kedudukan yang baik di Australia dan negara itu juga merupakan pelabur penting di sini, seperti LendLease, pemaju terbesar di Australia.

"Kehadiran mereka di sini menunjukkan keyakinan Australia terhadap ekonomi Malaysia dan kita berharap ini akan mengorak laluan supaya lebih banyak syarikat Australia melabur di Malaysia," katanya.

Pada 2015, perdagangan dan pelaburan keseluruhan antara Australia dan Malaysia bernilai A$16 bilion (AS1=RM3.27).

Lihat Komen
ADS