Paling Popular
Terkini

Seperti hanya selangkah lagi untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meminta sedikit masa tambahan sebelum memuktamadkan penyertaan mereka ke dalam gabungan berkenaan.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata masa itu diperlukan untuk mereka meneliti keseluruhan perjanjian berkenaan.

"Minta maaf, perjanjian ditangguhkan hari ini. Minta maaf," katanya semasa memberikan ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Kata bekas timbalan presiden Umno yang dipecat itu BERSATU berasakan masa secukupnya diperlukan terutama membabitkan hal sepenting itu.

"Dalam urusan dan hal-hal penting seperti perjanjian pertama yang kami akan tandatangani, saya dah minta tangguh untuk beri masa secukupnya kepada pemimpin BERSATU dan Pakatan Harapan berbincang dengan lebih lanjut," katanya.

Bagaimanapun mengulas lanjut, Muhyiddin berkata BERSATU secara dasarnya bersetuju dengan sebahagian perjanjian tersebut.

"Ada pihak kata, saya tarik diri daripada tandatangani perjanjian dengan HARAPAN, tetapi sebenarnya saya tidak berundur, saya amat serius.

"Pada dasarnya saya setuju dengan sebahagian besar perjanjian tersebut termasuk kedudukan Sabah dan Sarawak, hal kedudukan agama Islam dan agama kaum-kaum lain, bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kemuliaan dan institusi raja Melayu," kata Muhyiddin.

Sementara itu, mengulas apakah penangguhan pemeteraian perjanjian kerjasama dengan HARAPAN oleh BERSATU dibuat ekoran perbincangan mereka dengan PAS, ini jawab Muhyiddin: "Bukan kerana itu, tapi saya sengaja minta (lebih masa) kerana mahu beri peluang kepada kepimpinan BERSATU mengadakan pertemuan pertama kali dengan pucuk pimpinan HARAPAN yang belum dibuat sebelum ini."

Perlu pertemuan pakar

Awal November lalu PAS mengesahkan bahawa parti itu berbincang dengan Muhyiddin mengenai jalinan kerjasama untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Aziz menjelaskan bentuk kerjasama itu masih belum dimuktamadkan dan memerlukan masa serta penelitian daripada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu semasa berucap dalam Konvensyen Pakatan harapan pagi tadi Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir berharap parti yang dinaunginya itu bersetuju untuk memeterai perjanjian kerjasama dengan HARAPAN.

Kata Dr Mahathir lagi adalah tidak benar Muhyiddin menentang penyertaan parti berkenaan ke dalam HARAPAN.

Sebaliknya kata Dr Mahathir, Muhyiddin dan beliau bersependapat untuk menyertai gagasan berkenaan secara langsung kerana berkongsi pandangan bahawa negara ini perlu dibebaskan daripada kepimpinan Najib.

Menurut Muhyiddin beliau juga turut mencadangkan satu perjumpaan bersama pakar mewakili kesemua parti kompenan HARAPAN.

"Saya mahu keputusan mengadakan kerjasama dibuat secara komprehensif (dan) ini memerlukan proses perbincangan yang luas.

"Saya juga telah meminta sekreteriat HARAPAN untuk tentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk perbincangan tersebut dan apabila semua capai (kata sepakat) baru kita akan tandatangani," kata Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS