Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Maria minta al-Quran semasa berjumpa Suhakam
Diterbitkan:  Nov 23, 2016 12:48 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah memohon dibekalkan dengan al-Quran dan bahan bacaan serta kebenaran berjumpa dengan anak-anak dan keluarganya.

Permohonan itu disuarakan ketika delegasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berjaya berjumpa dengan Maria yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pertemuan delegasi Suhakam yang diketuai oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berlangsung selama satu setengah jam semalam yang dipercayai di kem polis Batu.

“Maria memohon senaskah al-Quran dan bacaan bacaan serta untuk berjumpa dengan anak-anak dan keluargannya,” kata Suhakam dalam satu kenyataan.

Menurut Suhakam permintaan Maria itu telah disampaikan kepada pihak polis.

Suruhanjaya hak asasi itu berkata walaupun sel Maria dikurung boleh dianggap bersih, namun tidak dapat dinafikan bahawa pemimpin BERSIH berkenaan dikenakan kurungan berseorangan.

“Apa yang dianggap sebagai katil itu tidak mempunyai tilam dan beliau terpaksa membersihkan dirinya dengan air sejuk.

“Maria juga menyatakan hasratnya untuk mendapatkan tilam bagi katil kayu yang tidak selesa itu,” katanya.

Maria, 60, ditahan selepas sepasukan polis dari Bukit Aman, bersama-sama pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Maria juga sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu menerima dana daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.

Satu permohonan habeas corpus itu difailkan semalam bagi mendapatkan pembebasan beliau, dan pengurusan kes itu adalah esok.

Mengulas lanjut, Suhakam berkata Maria memaklumkan beliau telah disoal-siasat selama tiga jam dan menjangkakan siasatan terperinci akan berterusan sepanjang penahanannya itu.

Perjumpaan Suhakam dengan Maria itu, turut dihadiri oleh anggota polis tetapi mereka dilaporkan tidak menghalang kelancaran perbincangan kedua-dua pihak.

“Walaupun Suhakam amat berterima kasih kepada pihak polis terhadap kerjasama dan bantuan mereka, namun wakil polis yang hadir tidak berada dalam kedudukan untuk mempertimbangkan sebarang permintaan.

“Namun mereka berjanji akan membawanya kepada pihak atasan,” kata kenyataan itu.

Suhakam juga berkata ia berpegang kepada pendirian bahawa penahanan Maria itu tidak sepatutnya berlaku.

Ia menegaskan bahawa mengikut Perkara 9 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, tidak ada sesiapa pun boleh dikenakan tangkapan sewenang-wenangnya, tahanan atau dibuang negeri.

Lihat Komen
ADS