Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenderaan baru mesti dilengkapi ciri kawalan kestabilan elektronik
Diterbitkan:  Nov 30, 2016 7:15 AM
Dikemaskini: 11:25 PM

Bermula Jun 2018, semua model kereta baru yang dipasarkan di negara ini perlu dilengkapi ciri keselamatan dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau menyifatkan ESC sebagai alat menyelamatkan nyawa paling kos efektif pada masa ini dan kajian dari seluruh dunia juga menunjukkan bahawa ESC dapat mengelakkan sekurang-kurangnya 40 peratus kematian akibat hilang kawalan.

"Seperti yang kita tahu, Malaysia ialah sebuah negara tropika, hujan sepanjang masa, jalan raya agak licin manakala siasatan polis menunjukkan bahawa lebih 45 peratus kemalangan maut adalah disebabkan tidak stabil atau tidak dapat mengawal kenderaan.

"Oleh itu, kita memerlukan sebuah kereta yang stabil dan melalui alat baru ESC dapat mengurangkan lagi risiko perlanggaran dengan mempunyai kawalan lebih baik semasa situasi kritikal," katanya dalam sidang media selepas pelancaran "Stop The Crash ASEAN" di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye dan Setiausaha Agung Global NCAP David Ward.

Liow berkata dari segi nisbah faedah kos, ESC adalah lapan hingga 14 kali lebih baik daripada "head-restraint system", 18 kali lebih baik daripada center belt dan dan 10 hingga 28 kali lebih tinggi daripada advanced airbag.

Beliau berkata sebagai pendekatan sistem yang selamat, kenderaan dan jalan raya yang lebih selamat dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan jika tidak dapat dielakkan walaupun manusia melakukan kesilapan semasa memandu.

"Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah penting untuk keselamatan jalan raya dan menjadi negara Asean yang pertama memberi mandat bagi pelaksanaan ESC," dan menambah negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, Jepun dan Korea Selatan juga melaksanakan ESC.

Mengenai persoalan sama ada kerajaan akan menguatkuasakan pemasangan Sistem Brek Anti Kunci untuk motosikal seperti ESC, Liow berkata setakat ini ia tidak perlu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan kini menubuhkan Sistem ePanggilan yang secara automatik akan memaklumkan kepada perkhidmatan kecemasan maklumat yang tepat mengenai kemalangan dalam tempoh singkat yang mungkin.

Sistem itu disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang Januari 2019.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS