Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan balak: Aktivis, Orang Asli direman
Diterbitkan:  Nov 30, 2016 10:32 AM
Dikemaskini: 5:44 AM

Seramai 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah, Gua Musang, semalam, dilapor direman masing-masing antara dua dan tiga hari di Mahkamah Majistret, di Gua Musang.

Majistret Mohd Faiz Omar mengeluarkan perintah reman itu terhadap Orang Asli berusia antara 18 sehingga 40 tahun itu bagi membantu siasatan polis, lapor Berita Harian.

Dalam prosiding itu, seramai 17 Orang Asli ditahan reman dua hari manakala selebihnya selama tiga hari, menurut harian itu lagi.

Permohonan reman dibuat oleh pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan menduduki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Jabatan Perhutanan semalam menjalankan operasi bagi mengosongkan dua sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai yang dibina oleh penduduk Orang Asli sejak September lalu untuk menyekat balak dibawa keluar.

Dalam operasi tujuh jam membabitkan 210 pegawai dan anggota pihak berkuasa diketuai Jabatan Perhutanan Kelantan itu, mereka turut merobohkan 35 pondok yang dibina di kawasan terbabit.

Sementara itu, peguam aktivis terbabit Siti Kassim berkata beliau telah sedaya upaya memohon pengurangan perintah reman hari ini.

Pagi ini, kira-kira 50 Orang Asli berarak ke bangunan mahkamah di Gua Musang bagi menyatakan sokongan kepada aktivis-aktivis itu.

Sambil berarak mereka melaungkan slogan mendesak pembebasan rakan-rakan mereka.

Laungan “Hidup Orang Asli” dan “Hidup rakyat Kelantan” berkumandang di mahkamah.

Aktivis mendakwa pembalakan di situ menjejaskan alam dan mata pencarian Orang Asli manakala pembalak mendakwa mereka terpaksa menanggung susulan tindakan itu.

PAS pula melalui akhbar webnya Harakahdaily melaporkan wujud campur tangan pihak luar bagi mencari kesalahan kerajaan negeri dalam aktiviti pembalakan di Gua Musang.

Lihat Komen
ADS