Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak guna acuan PRK untuk menang PRU14
Diterbitkan:  Dec 6, 2016 11:23 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan menggunakan acuan beberapa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen di negeri itu dalam berdepan PRU14.

Beliau yang juga menteri besar Perak berkata, sebagai 'war room' terbaik bagi zon utara untuk PRK, BN akan memberi tumpuan penuh kepada semua kerusi yang dimenanginya semasa pilihan raya umum yang lalu, memetik laporan Umno Online.

“Bukan mahu memuji diri sendiri tetapi kami diiktiraf sebagai ‘war room’ terbaik bagi zon utara untuk PRK,” katanya sambil memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu acuan itu dikongsikan dengan negeri lain.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan program Kembali Ke Sekolah 2017.

Terdapat 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dengan 31 daripadanya dimenangi BN, DAP (18), PKR (5) dan PAS (5). Namun, satu daripada kerusi PAS kini disandang wakil Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-14 akan diadakan tidak lama lagi.

Mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, selain itu, BN Perak akan berusaha menawan kerusi-kerusi lawan untuk memastikan BN terus berkuasa di Perak.

“Kesemua 59 kawasan di Perak perlu diberi perhatian namun, sudah semestinya kita akan memberi perhatian kepada kawasan yang dimenangi semasa PRU13,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS