'Kenapa tak siasat RM2.6b dibawah Seksyen 124C'

   

Dengan perhatian sekarang ke atas dana asing, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan menuntut penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai isu derma RM2.6 bilion.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ambiga berkata, tindakan beberapa NGO diburu atas penerimaan dana asing adalah keterlaluan tatkala wujud pengakuan RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang digunakan untuk pilihan raya umum lepas.

"Jika berlaku apa-apa, ia adalah campur tangan langsung dalam demokrasi berparlimen dan bukan kerja-kerja NGO yang memperjuangkan pendemokrasian institusi kita.

"Timbalan menteri perlu perjelas mengapa RM2.6 bilion ini tidak disiasat sebagai aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan tatkala isu pembiayaan asing menjadi perhatian," katanya.

Gerakan reformasi pilihan raya BERSIH, Majlis Peguam dan Malaysiakini sedang disiasat di bawah Seksyen 124C berhubung dakwaan penerimaan dana daripada Open Society Foundations yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.

Pada 18 November yang lalu, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan selama 10 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu, Ambiga juga mengkritik kenyataan Nur Jazlan yang menganggap ulasan Pelapor Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Maina Kiai sebagai 'campur tangan' dalam urusan negara ini dan siasatan terhadap penyaluran dana asing kepada NGO.

“Lelaki ini, yang bukan rakyat Malaysia dan bekerja untuk organisasi luar, datang dan beritahu orang ramai untuk berdemonstrasi dan mengkritik kerajaan. Dia campur tangan di Malaysia.

“Tindakannya memberi sebab kepada polis untuk menyiasat kumpulan atau NGO yang menerima dana asing sama ada terdapat campur tangan asing,” kata Nur Jazlan kepada Malaysiakini semalam.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In