Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM yakin raih 80% keyakinan masyarakat setahun lagi
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 5:54 AM
Dikemaskini: Dec 7, 2016 2:35 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin mampu meraih tahap 80 peratus keyakinan rakyat negara ini terhadap keberkesanan fungsi suruhanjaya itu memerangi amalan rasuah seawal-awalnya tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ia dijangka mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran sebelum ini berikutan usaha berterusan suruhanjaya itu memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Kalau lihat dari segi keyakinan masyarakat terhadap SPRM ada peningkatan iaitu daripada 65.8 peratus pada tahun lepas kepada 73 peratus pada tahun ini.

"Ini merupakan peningkatan yang baik dan kita yakin mampu melepasi tahap 80 peratus piawaian antarabangsa keyakinan masyarakat terhadap agensi pembanterasan rasuah.

"Kita harap dapat capai secepat mungkin, mungkin dalam tempoh setahun lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah peringkat Zon Timur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh Arah Timur di Temerloh semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir Pengarah Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, dan Pengarah SPRM Pahang Datuk Tan Kang Sai.

Kempen yang menggunakan #bermuladaripadaanda itu kali kedua diadakan selepas kali pertama diadakan di R&R Sungai Buloh 24 Jun lepas.

Shamsun Baharin berkata keyakinan itu juga berdasarkan kesedaran yang meningkat di kalangan masyarakat terhadap kesan buruk gejala rasuah ke atas masyarakat dan negara hasil kempen berterusan yang dijalankan menerusi pelbagai medium.

Beliau berkata kempen ini mengambil pendekatan hastag kerana ia merupakan trend belia dan masyarakat pada masa kini yang terlalu hampir jiwa mereka dengan media sosial.

"Kita akan terus menggalakkan penggunaan hashtag itu untuk diletakkan dalam setiap 'posting' berunsur mesej pencegahan rasuah oleh pengguna sosial. Biarlah ia menjadi viral asal ia untuk kebaikan demi meraih sokongan masyarakat terutama belia.

"Ia juga akan memperlihatkan bahawa usaha memerangi rasuah itu bermula daripada masyarakat sendiri untuk tidak memberi mahupun menerima sebarang bentuk rasuah. Integriti yang tinggi, moral yang teguh adalah benteng kepada jenayah ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS