Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Senator Azwan Bro sedia kerjasama dengan pembangkang

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi ini tidak menolak untuk bekerjasama dengan NGO serta pemimpin parti pembangkang.

Buat permulaan, katanya, yang juga dikenali sebagai Azwan Bro, dirinya mahu bekerjasama dengan pemimpin pemuda dari pelbagai pihak.

“Ia mesti dimulakan dengan kepimpinan anak muda. Saya akan bekerjasama dengan YB Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) dan pemimpin pemuda dari komponen MCA dan MIC dan NGO juga.

“Saya juga nak lihat kepimpinan dari parti pembangkang untuk sama-sama duduk dan merangka masa depan yang lebih baik dengan menggunakan naratif yang betul.

“Ia adalah masa yang tepat Perdana Menteri umumkan Transformasi Nasional TN50 untuk masa depan di hadapan 35 tahun akan datang,” katanya selepas upacara mengangkat sumpah.

Azwan mencuri tumpuan, beberapa bulan apabila beliau membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dakwanya, ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Jelas beliau, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan itu berdasarkan "andaian" dan oleh itu tidak mewajarkan siasatan lanjut.

Pada upacara hari ini, turut mengangkat sumpah adalah Ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Rabiyah Ali, Setiausaha Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat, Ketua Umno Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Penolong Setiausaha Puteri Umno, Datuk Fahariyah Md Nordin dan Pengerusi Kluster Pendidikan Umno Johor, Rahemah Idris.

Pelantikan mereka bagi tempoh tiga tahun.

Bagi Azwan, pelantikkannya adalah satu pengiktirafan kepada Pergerakan Pemuda Umno dan berikrar akan mengetengahkan isu yang menjadi aspirasi kepada anak muda terutamanya yang menyentuh kebimbangan golongan itu.

Selain itu katanya, beliau juga akan membawa agenda deradikalisasi yang dipelopori oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Azwan berkata, ketika diminta mengulas lanjut mengenai misinya terhadap anak muda berkata beliau akan merangka naratif yang lebih universal dan boleh diterima oleh semua pihak.

“Saya juga ingin membawa masyarakat dan rakyat untuk melihat kepada satu naratif yang lebih universal yang boleh diterima yang boleh menjamin keamanan, keharmonian dan boleh menjamin anak muda.

“Kita pegang dan junjung dalam konteks membina masa depan lebih baik dan sempurna

“Ini semua akan merujuk kepada agenda TN kelak, yang akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan iaitu TN50,” katanya yang juga adalah pengerusi Akademi Pemuda Umno Malaysia.

Azwan memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan (Master of Management) pada tahun 2007 dari Open University Malaysia (OUM).

Selain itu beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1999 dari Cardiff University of Wales.

Azwan turut mengikuti pengajian pra-universiti dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1996.

Beliau kini adalah Pengarah Eksekutif Ideal Jacobs Corporation (M) Berhad, Pengarah Biosis Group Berhad dan Pensyarah Jemputan Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh.

Selain itu beliau juga adalah Pengerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan Pengerusi YBU Holding Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS