Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Digong tak izin polis dituduh bunuh dipenjara
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 8:07 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini berkata, beliau tidak akan membenarkan anggota polis yang dikaitkan dengan pembunuhan seorang pemimpin tempatan dipenjara.

Dalam ucapannya Duterte berkata tiada apa-apa yang dapat membawa anggota polis terbabit dihukum atas kejadian berkenaan.

"Saya tidak akan biarkan polis ini ke penjara walaupun NBI (Biro Siasatan Kebangsaan) mengatakan kematian itu adalah disebabkan pembunuhan," katanya di Mandaluyong City.

Pada 5 November lalu Datuk Bandar Albuera, Rolando Espinosa Sr, ditemui mati ketika dalam tahanan polis di Leyte.

Espinosa ditahan polis untuk disiasat kerana anaknya dipercayai salah seorang pengedar dadah utama di kawasan berkenaan.

Laporan polis menyatakan Espinosa maut ketika pegawai penyiasat melakukan pemeriksaan di selnya.

Ketika kejadian Espinosa berkongsi sel tahanan dengan seorang lagi suspek di Penjara Leyte.

Jurucakap polis berkata kedua-dua suspek ditembak mati apabila mereka cuba melawan ketika anggota penyiasat memeriksa sel berkenaan.

Portal inquirer.net melaporkan walaupun NBI mengesahkan berlaku pembunuhan ke atas Espinosa, Duterte berkata mereka boleh memfailkan kes.

"Tetapi saya masih percaya kepada penjelasan diberi pihak polis," katanya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas NBI mendapati Espinosa sengaja dibunuh dan bukan melawan anggota keselamatan.

Duterte - atau juga dikenali sebagai Digong - adalah presiden ke-16 Filipina yang mempunyai keunikan tersendiri.

Beliau adalah orang keturuan Mindanao pertama menjadi presiden di Filipina, dan pada usia 71 tahun, menjadi pemimpin paling tua menduduki jawatan itu mengalahkan Sergio Osmena dan Fidel Ramos.

Dia terkenal dengan sikap keras dan tidak berdiplomasi termasuk mengeji Presiden AS Barack Obama sebagai "anak sundal".

Di Filipina, kadar pembunuhan di kalangan pengedar dadah dan penjenayah meningkat mendadak sejak Duterte menjadi presiden.

Akhir tahun lalu ketika menyampaikan ucapan sempena Krismas, Duterte sempat memberi amaran kepada penjenayah.

"Saya masih seorag manusia, justeru izinkan saya membuat ucapan.

"Selamat hari Krismas kepada semua pengedar dadah, pencuri, kaki rasuah, penjenayah dan sesiapa yang menjadikan hidup orang Filipina sukar.

"Jika kamu tidak berhenti atau terus melakukan kekejaman, ini adalah (Krismas) terakhir kamu. Selamat hari Krismas," katanya.

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International dan Human Rights Watch mendakwa lebih 1,400 kematian penjenayah di Filipina mempunyai kaitan dengan skuad khas diizinkan Duterte.

Keadaan itu mendorong musuh Duterte cuba menyingkirkannya melalui proses undi tidak percaya di parlimen.

Senator Leila de Lima yang menjadi pengkritik Duterte berkata, pendirian presiden itu berhubung kes Espinosa semakin menyukarkan pembangkang mengetepikan pemimpin terbabit.

"Saya hampir pasti jawatankuasa senat mengenai ketenteraman awam dan ancaman dadah yang menjalankan siasatan kes itu akan membuat kesimpulan sama seperti Duterte," katanya.

Lihat Komen
ADS