Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: Pusat pemulihan dadah perlu ditutup, kes berulang tinggi
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 6:46 AM
Dikemaskini: 10:59 PM

Pusat-pusat pemulihan dadah perlu ditutup kerana kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kes-kes berulang penagih ditahan di pusat itu mencatatkan kadar yang tinggi.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata penyelidikan yang dijalankan oleh universiti dengan kerjasama Yale University School of Medicine dan University of Florida College of Medicine dari Amerika syarikat serta Burnet Institute Melbourne dari Australia mendapati proses pemulihan penagih di pusat-pusat sukarela adalah lebih baik.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Global Health menunjukkan bahawa separuh daripada penagih dari pusat pemulihan kembali ke tabiat itu dalam masa 31 hari berbanding 352 hari bagi mereka di pusat-pusat sukarela, yang menunjukkan peningkatan 10 kali ganda.

Dr Adeeba, yang juga presiden Majlis Aids Malaysia dan pengerusi bersama Jawatankuasa Penasihat Teknikal dan Strategik mengenai HIV Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata hasil kajian menyokong gesaan antarabangsa supaya semua negara yang menubuhkan pusat pemulihan menghentikan operasi berdasarkan ketidakberkesanan pusat-pusat ini dalam merawat penagihan dadah.

Pusat-pusat pemulihan dadah ditubuhkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2010.

"Pada masa yang sama, negara-negara tersebut perlu meningkatkan rawatan terapi seperti metadon atau terapi buprenorphine dalam komuniti yang perlu digalakkan dan secara sukarela," kata beliau.

Dr Adeeba berkata kajian itu juga menarik perhatian mengenai implikasi meluas pusat-pusat pemulihan seperti risiko jangkitan HIV, kemerosotan kualiti hidup, kematian, diberkas semula dan aktiviti jenayah jika masalah pemulihan penagih dadah tidak ditangani dengan cara yang betul.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pusat pemulihan dadah di Malaysia dan seluruh Asia dipersoalkan kerana kurang berkesan dalam merawat ketagihan dan pelanggaran hak asasi manusia.

"Kajian ini ialah yang pertama menunjukkan perbezaan yang nyata dalam kadar kes berulang di kalangan penagih yang ditahan di pusat-pusat ini berbanding mereka yang menerima rawatan methadone," kata beliau.

Beliau berkata kajian itu tidak hanya menimbulkan implikasi besar polisi bagi Malaysia, tetapi juga di Asia yang menunjukkan pusat-pusat tahanan dadah dan jumlah mereka yang ditahan di pusat itu semakin berkembang.

Kajian itu dibiayai oleh World Bank Group, Doris Duke Charitable Foundation, National Institute on Drug Abuse, Institut Kesihatan Mental Kebangsaan, UM dan Geran Penyelidikan Impak Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS