Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KSU KDN: Tak benar k'jaan beri IC kepada 700,000 warga asing di Johor
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 7:02 AM
Dikemaskini: 11:06 PM

Kerajaan tidak memberikan kad pengenalan kepada 700,000 warga asing di Johor untuk menjadi pengundi di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim menegaskan bahawa penganugerahan kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi kerajaan Malaysia.

"Ini merupakan hak eksklusif kerajaan persekutuan yang tidak ditawarkan dan tidak diberikan dengan sewenang-wenangnya.

"Adalah tidak benar ke atas dakwaan bahawa kerajaan akan memberikan kad pengenalan kepada 700,000 warga asing," katanya.

Alwi berkata setiap permohonan kewarganegaraan memerlukan penelitian yang terperinci seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutian.

Ini kerana ia akan menyebabkan individu yang berkenaan menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini dinikmati seseorang yang berstatus warganegara sahaja, katanya.

"Kementerian sentiasa komited dalam memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan mematuhi perundangan yang berkuat kuasa agar keselamatan, keharmonian, perpaduan dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS