PERKASA: DAP selesa 'lenggang-lenggokkan' Wan Azizah

       

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mempertikaikan cadangan DAP agar Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dilantik sebagai perdana menteri sementara sementara menunggu suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim megambil alih jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, siapa calon perdana menteri pakatan pembangkang tidak penting tetapi sebaliknya, apa yang lebih utama adalah pembentukan manifesto Pakatan Harapan.

"Anwar calon selesa dengan DAP, Anwar telah tunjukkan bahawa dia boleh menelan doktrin yang dibawa DAP.

"Malah, dia (Lim Kit Siang) juga tahu Wan Azizah boleh dilenggang-lenggok oleh DAP seperti mana DAP lenggang-lenggok kepada (bekas Menteri Besar Perak) Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

“Mudah untuk DAP membawa jarum," katanya kepada Malaysiakini di pejabatnya, hari ini.

Ibrahim turut mnyifatkan tindakan menamakan Anwar sebagai perdana menteri memberi gambaran bahawa DAP cuba untuk menghina minda rakyat.

"Saya hendak tanya secara berjenaka, katakanlah Anwar tidak ada. Ertinya, perjuangan HARAPAN ini tamat, sebab tiada lagi calon perdana menteri, walhal ramai lagi yang lain.

“Apa kurangnya Mohamad Sabu, pada saya dia jujur dan amanah," katanya.

Jelaskan manifesto

Minggu lalu, pemimpin veteran DAP itu mencadangkan Wan Azizah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang merampas Putrajaya.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu lalu yang menolak permohonan semakan Anwar terhadap sabitan dan hukuman liwat II.

Oleh itu, Anwar dijangka kekal dipenjara sehingga pertengahan 2018.

Mengulas lanjut, Ibrahim menasihatkan pemimpin pembangkang supaya memberi tumpuan kepada manisfesto atau kenyataan dasar bersama mereka.

"Belum tiba masanya lagi yang penting pada Pakatan Harapan, orang nak tengok manifesto. Itu lebih penting, bila sebut Pakatan Harapan, dasar-dasar reformasi apa yang reformasi?

"Apakah reformasi dan dasar yang diperjuangkan oleh DAP akan menjadi dasar Pakatan Harapan, yang mana ada perkara yang menyentuh nadi dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita nak tahu, ini lebih penting daripada calon perdana menteri, dia kena jelaskan ini dahulu," katanya.

Menurutnya, sosok individu tertentu tidak seharusnya digunakan dalam memilih calon perdana menteri.

Sebaliknya, perlulah berasaskan kepada dua kriteria iaitu mempunyai akhlak terpuji dan bersikap amanah.

"Jangan nak berselindung di sebalik calon tertentu yang hendak menjadi perdana menteri. Kriteria calon ini adalah mempunyai akhlak yang baik dan bersikap amanah.

"Ia juga harus mempunyai akhlak yang baik di sisi Allah dan juga di sisi masyarakat selain bebas dari skandal termasuk bersikap amanah.

"Barulah itu syarat-syarat pemimpin yang mahu seperti amirul mukminin, orang tidak ragu-ragu untuk jadi imam," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda