MDSB roboh resort Jamal, ADUN kata tiada dendam

Zikri Kamarulzaman        

Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hari ini merobohkan sebuah resort yang dimiliki oleh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos di Sekinchan, Selangor selepas menghantar notis perintah tutup, pagi tadi.

Notis bertarikh 22 Disember itu antara lainnya menyebut pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.

Notis juga menyebut pemeriksaan MDSB mendapati Jamal telah melakukan kesalahan tersebut di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

Jamal dalam catatan di Facebook mendakwa arahan perobohan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

“Kerja-kerja meroboh permis perniagaan saya oleh majlis dearah Sabak Bernam sedang dilakukan atas arahan MB.

“Pagi tampal notis petang ini roboh. Ini adalah tindakan balas dendam oleh kerajaan negeri terhadap kelantangan saya mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Azmin Ali.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Selangor yang derita dengan masalah air yang tidak ada,” katanya.

Jamal semalam tampil dengan hanya bertuala ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk tumpang mandi di pejabat menteri besar Selangor.

Beliau turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Bagaimanapun ADUN Sekinchan,Ng Suee Lim ketika dihubungi Malaysiakini untuk mengesahkan laporan itu berkata perobohan berkenaan tidak ada kena mengena dengan bantahan yang dibuat oleh Jamal.

“Tiada dendam... ini (hanya) kebetulan,” katanya.

Menurut pemimpin akar umbi DAP itu, MDSB telah menghantar notis kepada Jamal mengenai sepanjang tempoh lima tahun lalu berhubung hotelnya yang tidak mematuhi peraturan-peraturan tanah dan pembangunan.

“Benda ini majlis (MDSB) dah banyak kali keluar notis, saman kompaun semua sudah, minta dia roboh sendiri tapi dia ingkar.

“Jadi majlis dan pejabat tanah ambil tindakan la. (Ini kerana kita) tak nak majlis dilihat tidak tegas dalam meneggakkan undang-undang,” kata Ng.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah dengan sesiapa sahaja menjalankan perniagaan di Sekinchan, tetapi mereka mesti mengikut undang-undang.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Awaluddin Zakaria berhubung kerja-kerja perobohan itu dan sedang menunggu jawapannya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In