Pembangkang celaru, Melayu atas pagar cari BERSATU

       

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka mendapat sokongan daripada pengundi Melayu atas pagar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Ibrahim Ali.

Jangkaan tersebut dibuat Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berdasarkan pendirian parti politik yang tidak menentu ketika ini.

"Kita tengok kedudukan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) belum jelas. (Persoalan hubungan) Umno dengan PAS, PAS kata tidak ada kerjasama dengan Umno. Umno pun kata begitu.

"Jadi kedudukan tidak menentu, jadi oleh kerana itu susah untuk kita nak buat (jangkaan)," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

PRU14 dijangka diadakan seawal suku pertama tahun depan walaupun perdana menteri masih berteka-teki mengenainya.

Kedudukan semasa politik pula dilihat tidak memihak kepada pembangkang kerana semua parti masih belum mencapai persefahaman untuk berdepan dengan cabaran BN secara sepakat.

Satu-satunya cara terbaik untuk pembangkang memberi cabaran kuat kepada BN adalah melalui pertandingan satu lawan satu tetapi dengan konflik yang belum surut antara PAS dan DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH) ada kemungkinan pertandingan lebih dua penjuru akan berlaku pada PRU akan datang.

Kata Ibrahim dalam keadaan yang belum meyakinkan kini, pengundi atas pagar akan menjadi penentu.

"Walaupun BERSATU tidak terserlah, saya rasa undi Melayu (atas pagar) pergi kepada parti iu," katanya merujuk kepada pertubuan diketuai dua bekas orang kanan Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bawa Dong Zong ke mahkamah

Ibrahim adalah orang yang pernah rapat dengan Dr Mahathir dan pengagum bekas perdana menteri berkenaan, sebelum kedua-duanya kelihatan bermasalah baru-baru ini.

Menurut bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, berdasarkan perubahan diramalnya itu, ia kesan kepada Umno dan PAS kerana kedua-dua parti terbabit sebelum ini didakwanya ini bergantung kepada undi golongan atas pagar.

PAS pula, katanya, pernah mendapat faedah daripada sokongan pengundi Cina pada PRU lalu namun keadaan dijangka akan berubah selepas ini.

Bagaimanapun, katanya, PAS dan Umno masih mempunyai kekuatan di kalangan penyokong tegar yang setia walaupun dihimpit pelbagai isu.

"Bagi penyokong tegar, mereka tidak mengambil kira apa masalah yang menimpa melibatkan isu 1MDB, kos sara hidup, GST.

"Semua ini tidak lari daripada Umno. Sama juga (macam) PAS," katanya.

Sementara itu mengulas isu berasingan Ibrahim tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang dana kerajaan disalurkan kepada sekolah vernakular.

Ibrahim berkata ia berikutan sekolah vernakular tidak layak untuk mendapat bantuan dan kerajaan kerana tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan serta agenda perpaduan nasional.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil jika penentang sekolah satu aliran, khususnya Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berterusan mendesak kerajaan bagi meneruskan dan menambah sekolah vernakular di negara ini.

"Kalau mereka terus tolak sekolah satu sistem, terus besarkan serta tambah lagi dan kerajaan ikut rentak mereka kerana nak cari sokongan politik, tidak mustahil - atas nasihat pakar perundangan - PERKASA akan bawa (isu berkenaan) ke mahkamah," tegas Ibrahim.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda