Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal kata tak berniat mahu langgar undang-undang

Pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau tidak bermaksud untuk melanggar mana-mana undang-undang yang ditetapkan kepadanya.

Sebaliknya, beliau yang juga ketua Umno Sungai Besar menegaskan apa yang diperlakukan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) terhadap resort miliknya adalah bertentangan dan salah di sisi undang-undang.

"Saya bukan mahu melanggar undang-undang kerana tidak ada siapa yang boleh mengatasi undang-undang tetapi apa yang mereka lakukan itu bertentangan dan salah di sisi undang-undang," kata Jamal ketika dihubungi Malaysiakini.

Malah, tegas Jamal, beliau seorang yang hormat undang-undang namun tidak akan bertolak ansur sekiranya apa yang berlaku kepada resortnya terdapat salah guna kuasa dalam peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya orang yang hormat undang-undang tetapi kalau ada yang salah gunakan undang-undang saya akan cabar mereka di mahkamah," tegas Jamal.

Jamal semalam, bertindak meneruskan operasi resortnya walaupun MDSB telah menyita dan mengarahkan premis itu ditutup selama 14 hari bermula Khamis.

Ini kerana Jamal mendakwa pihaknya telah mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, namun gagal memperolehi lesen sah kerana campur tangan politik pihak tertentu.

Malah, Jamal juga memaklumkan peguamnya akan mendapatkan perintah mahkamah Selasa depan ini bagi menarik balik arahan sita dan penutupan resort itu.

Terdahulu, Jamal bertindak 'merasmikan' resort tersebut buat pertama kalinya sejak 2011 dengan memotong reben selain mengoyak notis arahan penutupan oleh MDSB.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sepatutnya bersikap pilih kasih dengan hanya memberikan lesen kepada mereka yang berpihak atau disukainya sahaja.

"Itu atas keprihatinan beliau selaku menteri besar tapi janganlah pilih orang, sebab dia anak dara bagi (lesen) tapi janda tak bagi.

"Sebagai menteri besar kepada rakyat Selangor beliau tidak boleh bersikap sedemikian kerana beliau bukan menteri besar PKR atau menteri besar untuk Pakatan Harapan tetapi beliau menteri besar untuk rakyat Selangor," kata Jamal dipercayai mengaitkan isu Azmin memberi lesen kepada gadis peniaga nasi lemak 'anak dara' sebelum ini.

Kata Jamal, sebagai rakyat di negeri termaju itu, beliau mahu Selangor terus membangun tetapi apa yang menjadi persoalannya kini apakah ia akan berlaku jika terdapat campur tangan politik.

"Saya sebagai rakyat Selangor inginkan pembangunan tapi kenapa proses pembangunan dalam negeri Selangor ini dicampur adukkan dengan politik? Kalau begini bagaimana Selangor nak maju," soal Jamal.

Oleh yang sedemikian, Jamal mahu isu pembangunan di negeri itu tidak dijadikan isu politik.

Selain itu, Jamal juga turut mempersoalkan tindakan MDSB dan kerajaan negeri yang memberikan lesen kepada mereka yang mendirikan bangunan di tanah-tanah rizab milik kerajaan.

"Saya juga nak mempersoalkan berapa banyak kedai-kedai dan bangunan yang diberikan lesen yang didirikan atas tanah rizab Melayu dan kerajaan untuk beroperasi seperti pusat judi tapi kenapa resort saya saja yang menjadi mangsa," soal Jamal lagi.

Kelmarin, MDSB bertindak menyita resort seluas empat hektar yang mempunyai 100 unit bilik itu kira-kira pukul 10 pagi.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata penutupan berkuat kuasa semalam itu dibuat mengikut Undang-undang Kecil 38, Undang-undang Kecil Hotel MDSB 2013 kerana menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah.

Malaysiakini masih menunggu reaksi balas MDSB berhubung tindakan Jamal itu.

Lihat Komen
ADS