Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Saring pelajar asing elak kemasukan pengganas

Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) perlu dikaji semula dengan mengambil kira saringan polis sebelum pelajar asing diberi visa untuk memasuki negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia perlu bagi mengelakkan kumpulan pengganas menggunakan kemudahan tersebut bagi menyelinap masuk ke negara ini.

Menurutnya ketika ini kemasukan pelajar asing ditapis oleh Kementerian
Pendidikan Tinggi (KPT) menggunakan sistem EMGS, tanpa membabitkan saringan polis atau tapisan Imigresen seperti pekerja asing.

"Oleh itu, prosedur sistem EMGS perlu dikaji semula kerana saringan
kemasukan pelajar asing yang berisiko tinggi sebagai bakal pengganas atau penjenayah tidak dapat dilaksanakan dengan menyeluruh sebelum mereka tiba di sini," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas kewujudan anggota Daesh warga asing di negara ini serta kes empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas di beberapa lokasi antara 3 November dan 16 Disember lepas.

Warga asing yang ditahan termasuk dua pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Shah Alam, Selangor dan seorang operator kilang di Johor.

Siasatan awal polis mendapati seorang daripada pelajar berkenaan pernah disiasat pihak berkuasa asing kerana terlibat dalam kumpulan militan Daesh.

Pelajar itu disyaki terlibat dalam percubaan mendapatkan maklumat sensitif mengenai aspek keselamatan di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara manakala seorang lagi pelajar disyaki bersubahat dengannya.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati seorang lagi suspek pernah ditahan di Timur Tengah pada 2010 kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan di Selangor itu telah diusir pulang ke
negara asal pada 22 dan 23 Nov lepas manakala operator kilang itu pula ditahan kerana disyaki merancang menyeludup senjata api ke Poso, Indonesia serta menyusup masuk ke Myanmar bagi melancarkan serangan.

Nur Jazlan berkata keempat-empat suspek ditahan polis melalui pemantauan dan maklumat risikan selepas mereka memasuki negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Imigresen mengawal pintu masuk rasmi seperti lapangan terbang, pelabuhan dan jalan darat tetapi masih terdapat juga suspek yang terlepas disebabkan maklumat mereka sebagai orang berisiko menjadi pengganas tidak dimaklumkan oleh negara asal mereka.

"Mereka juga tidak dicatat dalam senarai suspek. Namun kita percaya ada juga anggota pengganas yang diseludup melalui jalan tidak rasmi," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS