Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenapa nafi kenyataan Bahri, peguam soal SPRM
Diterbitkan:  Jan 4, 2017 11:37 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Seorang peguam hari ini mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan dibuat bekas pengarah bahagian Operasi khasnya, Datuk Basri Mohd Zin yang bersara awal.

Adalah pelik dan janggal apabila SPRM menghubungi Bakri untuk menafikan kenyataan terhadap agensi itu, kata Mohd Haniff Khatri Abdulla yang pernah mewakili bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes.

"Persoalannya, jika benar-benar Bahri menafikan kandungan laporan itu, mengapa SPRM cuba menafikan bagi pihaknya? Apa kata SPRM minta Bahri mengeluarkan penafian itu sendiri?

"Hakikatnya sehingga Bahri mengeluarkan kenyataan peribadi menafikan laporan itu, laporan sedia ada (Mengenai sebab bersara awal) adalah sah, betul dan tepat dari segi undang-undang," kata Haniff di Facebook.

Haniff berkata, sekiranya SPRM dan kerajaan tidak berpuas hati dengan Bahri, mereka tidak boleh memutarbelitkan fakta.

Justeru itu, peguam itu mengulangi gesaannya supaya Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru Datuk Dzulkifli Ahmad menjelaskan secara telus siasatan SRC International - atau meletakkan jawatan serta-merta.

Haniff semalam mencabar Apandi dan Dzulkifli menjelaskan mengapa kes SRC International tidak pernah dibawa ke mahkamah.

Bahri turut mengesahkan beliau memilih bersara daripada jawatannya dua tahun lebih awal kerana kecewa dengan cara siasatan SPRM terhadap SRC International.

Bagaimanapun, pada sebelah petang, SPRM mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Bahri 'kecewa' dengan kes SRC International.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota parlimen Pokok Sena dari PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, jika persaraan Bahri disebabkan siasatan SRC International maka ia tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat, terutama kakitangan awam.

"Kenyataan Bahri mengambarkan bagaimana cengkaman kuasa politik pemerintah ke atas SPRM dan institusi perundangan (AG) sedang bermaharaja lela.

"Seluruh warga SPRM sewajarnya mengadakan pertemuan sokongan dan solat hajat solidariti untuk Bahri di kediaman beliau," katanya.

Mahfuz turut mencadangkan satu kempen di mana lampu kereta dimatikan pada waktu malam selama beberapa minit sebagai tanda protes terhadap rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS