Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bahri nafi SPRM hubunginya
Diterbitkan:  Jan 5, 2017 5:24 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Bekas pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohamad Zin menafikan beliau pernah berjumpa atau dihubungi oleh unit media suruhanjaya itu.

Sebelum ini, SPRM menerusi kenyataan media yang menyatakan suruhanjaya itu telah menghubungi Bahri dan beliau menafikan mengeluarkan kenyataan memilih bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Malah, kata Bahri, di akhir tugasnya di BOK, mereka juga tidak pernah bercakap dengan beliau.

"Pendedak ini ada di mana-mana, sepatutnya tunggulah kenyataan rasmi daripada saya sendiri. Saya amat tidak suka orang mempergunakan saya tanpa kebenaran," katanya, memetik laporan Sinar Online.

Dua hari yang lalu, SPRM mendakwa Bahri tidak menyatakan beliau memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International seperti yang dilaporkan.

“Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Datuk Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Datuk Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut,” menurut kenyataan media SPRM itu.

Terdahulu, Bahri mengesahkan beliau memilih meninggalkan agensi penguat kuasa itu lebih awal kerana kecewa.

Bercakap kepada Malaysiakini, Bahri menjelaskan, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.

Lebih daripada itu Bahri yang pernah bersumpah dengan nama Allah apabila pegawainya ditahan polis berkata, beliau tidak lagi wajar berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah".

Ditanya apakah maksud kenyataan itu, Bahri menjelaskan, undang-undang labah-labah hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.

"Terlalu banyak wang yag hilang. Saya tak patut berkhidmat dalam undang-undang sarang labah-labah," katanya.

Lihat Komen
ADS