SPRM membisu dakwaan Bahri tiada siapa hubunginya

   

Tiada sebarang jawapan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penafian bekas pengarahnya, Datuk Bahri Mohd Zin bahawa unit media agensi itu menghubunginya berikutan kenyataan mengenai siasatan SRC International Bhd.

Panggilan dan mesej kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki kekal tidak berjawab.

Bahri, Selasa lalu menafikan beliau pernah berjumpa atau dihubungi oleh unit media suruhanjaya itu.

"Saya amat tidak suka orang mempergunakan saya tanpa kebenaran," katanya, dipetik Sinar Online.

Bekas pengarah bahagian operasi khas SPRM itu sebelum ini menafikan SPRM ada menghubungi beliau.

Suruhanjaya itu juga menafikan kenyataan Bahri bahawa beliau memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC.

Azam ketika dihubungi juga mendakwa Bahri menafikan berkata beliau merasakan seolah-olah berdosa terhadap 30 juta rakyat Malaysia seperti dilaporkan.

Terdahulu, beberapa agensi media, termasuk Malaysiakini, memetik Bahri sebagai berkata beliau kecewa apabila kes SRC tidak dibawa ke mahkamah.

SRC, yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB dan kini di bawah kementerian kewangan, mencuri perhatian selepas RM42 juta ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wang SRC didepositkan dalam akaun Najib dalam dua transaksi - pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 - selepas melalui dua syarikat, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib dilapor mendakwa tidak sedar mengenai wang SRC dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan dirinya daripada sebarang salah laku.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In