Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi penjawat awam ditahan terima rasuah di Johor

Seorang penolong pegawai tanah di pejabat tanah di sebuah daerah di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini kerana disyaki menerima rasuah.

Menurut sumber SPRM, suspek yang berusia 56 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Johor, dipercayai menerima rasuah yang berbentuk ‘pinjaman’ bernilai RM150,000 dalam urus niaga jual beli tanah.

“Urus niaga itu adalah daripada seorang pemilik syarikat yang sering
berurusan dengannya berkaitan dengan permohonan dan pembayaran permit kerja mengambil tanah.

“Suspek juga telah menjalankan urus niaga jual beli tanah dan menggunakan nama anaknya sendiri untuk dijadikan proksi bagi pelaburan tanah berstatus rizab Melayu bersama pemilik syarikat terlibat yang berbangsa Cina,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Turut difahamkan, beliau telah menerima keuntungan kira-kira RM100,000 hasil urus niaga jual beli tanah itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tangkapan itu dan berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Johor Baharu untuk pertuduhan esok.

Dalam siasatan pada 29 Nov lepas, SPRM mengesahkan lelaki terbabit memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas lebih 30 hektar selain tanah rumah kediaman serta sebuah kediaman mewah di beberapa daerah di Johor.

Suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk mengambil tindakan berkaitan hal ehwal pejabat tanah daerah bagi memperoleh tanah selain memperoleh tanah secara pindah milik.

Ini merupakan penahanan ketiga SPRM minggu ini selepas kes penahanan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Arif Ab Rahman dipercayai atas kesalahan salah guna kuasa dan rasuah.

Hari ini bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM36,000 daripada sebuah syarikat pengutip hutang, dua tahun lepas. -Bernama

Lihat Komen
ADS