Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fahmi lepas ke Taiwan dengan bantuan 'Inspektor R'
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 10:11 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Fahmi Reza, artis grafik yang terkenal dengan lukisan satira perdana menteri berwajah badut, hari ini mendedahkan bagaimana beliau melepasi larangan ke luar negara.

“Sebenarnya ia disebabkan gabungan usaha dan nasib,” katanya.

Daripada Taiwan, beliau menulis di Facebook, berjaya ke republik itu dengan bantuan pegawai polis yang dirujuknya sebagai “Inspektor R”.

Pegawai itu juga yang memasukkan namanya dalam senarai yang dikehendaki polis, jelasnya.

Kata Fahmi, beliau bertemu pegawai itu di lapangan terbang sebelum penerbangan awal pagi semalam dan diberitahu semuanya telah diselesaikan.

“Dia (Inspektor R) beritahu aku, bila dia sampai lapangan terbang, dia terus ke pejabat pengurusan imigresen di KLIA untuk pastikan semuanya lancar.

“Kemudian dia ceritakan semua usaha yang dia dah lakukan sejak hari Jumaat,” kata Fahmi.

Katanya, semalam pegawai itu hanya perlu pastikan pihak polis Cawangan Khas menghantar laporan itu kepada imigresen dan mendapat pengesahan jabatan itu.

“Hari ni dia hanya perlu buat tindakan susulan dengan imigresen untuk pastikan mereka dah batalkan nama aku dari sistem mereka. Semuanya ikut prosedur,” jelas Fahmi lagi.

Fahmi sebelum ini berkata cuma menghubungi pegawai itu tetapi tidak berjaya.

Aktivis itu dijadual berucap berhubung ‘protes seni’ pada satu majlis anjuran Green Citizens Action Alliance di Taiwan.

Khamis lalu, Fahmi mendakwa Jabatan Imigresen memaklumkan bahawa beliau dihalang ke luar negara sejak 31 Mac 2016.

Menurutnya, semakan dengan pegawai penyiasat di Bukit Aman mendapati beliau disenarai hitam kerana kesnya bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi susulan tulisan di Twitter yang didakwa mengaibkan Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS